Intan Zuraini azam jadi ahli politik
DILAHIRKAN dalam keluarga yang bergiat cergas dalam arena politik, Intan Zuraini Hasan, 34, turut bertekad mengorak langkah dalam bidang sama walaupun menyedari ia mencabar dan memerlukan komitmen tinggi, terutama bagi wanita berkerjaya sepertinya.
Anak jati Kuala Lumpur yang memiliki Diploma Sains Kesetiausahaan dari Institut Tutorial Petaling Jaya itu bercita-cita untuk menjadi ahli politik berjaya, sekali gus menyumbang bakti kepada nusa dan bangsa.
Intan Zuraini berkata, pada peringkat awal, pembabitannya dalam Pergerakan Puteri Umno Subang Jaya sekadar mengisi masa lapang dan memenuhi harapan ibu bapa supaya beliau berjinak-jinak dalam politik.
“Namun sejak tiga tahun lalu, cinta saya terhadap politik semakin berkembang.
“Ibu saya veteran Umno dan dialah yang mengajak saya menyertai Umno, mungkin kerana dia dapat menilai semangat kecekalan yang diwarisi darinya,” katanya yang kali pertama menjadi perwakilan Puteri Umno Kuala Lumpur.
Ibu kepada sepasang cahaya mata berumur 10 dan empat tahun itu juga adalah usahawan yang turut menjadi rakan kongsi sebuah syarikat mengendalikan promosi kegiatan sukan permotoran di Kuala Lumpur.
Anak kedua daripada tujuh beradik, Intan Zuraini mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Jalan Selangor, Petaling Jaya, sebelum menamatkan alam persekolahan di Sekolah Menengah Taman Datuk Harun.
Beliau amat mengagumi kepemimpinan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz yang disifatkannya umpama sebutir permata yang jauh di dasar laut tetapi amat berharga kepada bangsa serta agama.
“Rafidah pemimpin yang sukar dicari bandingnya kerana beliau cekal serta bijak mentadbir. Saya sangat meminati beliau sejak zaman persekolahan dan menjadikannya sebagai idola politik paling sesuai dicontohi,” katanya.
|