Direktori Puteri bantu pengusaha wanita muda

KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri Umno akan melahirkan lebih ramai usahawan wanita muda, terutama di kalangan ahlinya sejajar hasrat kerajaan untuk meningkatkan jumlah usahawan Bumiputera.

Sehubungan itu, pelbagai program diatur termasuk pelancaran Direktori Sahabat Niaga Puteri yang mampu membantu orang ramai, terutama ahli Puteri Umno terbabit dalam bidang keusahawanan dan program Mentor Mentee Usahawan.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad, berkata berdasarkan program jelajah kawasan yang dianjurkan Biro Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia pergerakan itu, ramai ahli Puteri Umno memulakan perniagaan atau berminat menjadi usahawan.

“Buat masa ini ada kira-kira 500 usahawan ahli Puteri yang berdaftar dengan direktori itu dan ia dijangka meningkat kerana ramai lagi usahawan wanita muda belum mengetahui kami membuka pendaftaran usahawan Puteri.

“Keusahawanan akan turut ditekankan dalam ucapan dasar saya pada Perhimpunan Agung Puteri esok (hari ini),” katanya selepas majlis pelancaran direktori berkenaan oleh Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak di sini, semalam.

Noraini berkata, wujud diskriminasi terhadap usahawan wanita muda yang kononnya dikatakan tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam bidang perniagaan.

Beliau berharap masalah berkenaan mampu diatasi segera bagi memastikan semangat usahawan wanita muda tidak terpadam.

Mengenai direktori itu, Noraini berkata, ia adalah senarai syarikat dan bidang perusahaan ahli Puteri Umno yang akan diedarkan kepada pelbagai syarikat dan agensi kerajaan bagi membantu memajukan perniagaan mereka.

Beliau berkata, direktori itu akan diedarkan kepada setiap ahli Puteri Umno Khamis ini.


Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768