Pengalaman matangkan Noraini

PETANG Rabu lalu, tidak semena-mena terbit kesayuan di hati Noraini Ahmad ketika berucap buat pertama kali di pentas Dewan Merdeka selaku Ketua Puteri, disaksikan ratusan pasang mata yang diam membatu mendengar setiap patah perkataannya.

Seboleh-bolehnya, pemimpin muda bertubuh kecil molek dan berkening lebat itu tidak mahu air mata membasahi wajah mulusnya, walaupun menyedari jutaan cabaran menghambat setiap langkah anak bangsa Melayu, termasuk 213,540 wanita muda yang dipimpinnya.

Mengikut rasa pula, menyirap juga darahnya melihat kepincangan yang melingkari pergerakan termuda itu, termasuk kelembapan usaha menambah ahli dan disiplin anak buah yang ada masanya mencabar darjah kesabaran.

Pada akhirnya, Noraini tidak menangis dan tidak juga becok meleteri adik-adik yang manis dipandang dalam persalinan bermotif merah jambu, sebaliknya mengambil pendekatan paling mudah dan berkesan - menyuntik logik di akal fikiran.

Beliau melontar persoalan bagaimana Puteri boleh berkembang andainya ahli tidak bertambah. Beliau tegaskan juga tiada guna pembahas memberi cadangan jika perwakilan tidak memberi perhatian kerana asyik keluar masuk dewan. Ringkasnya, beliau mahu Puteri bekerja dan berdisiplin.

Semua itu mungkin remeh di mata umum, namun tidak di pandangan Noraini kerana baginya, politik bukan bahan mainan yang dipenuhi sandiwara atau gelak ketawa.

Bermula dengan era Datuk Azalina Othman Said dan kini teraju mantap di genggaman Noraini, pergerakan yang dianggotai wanita berusia 18 hingga 35 tahun itu semakin matang dalam mencongak percaturan dan memahami sepak terajang politik yang saban masa menguji daya ketahanan diri.

Pengalaman jelas banyak mematangkan Noraini. Sudah ada nada tegas dalam kata-katanya, wujud juga keyakinan dalam dirinya menangkis soalan provokasi yang bertalu-talu dihambur bagi menguji sejauh mana ampuhnya sayap Puteri, baik menangani permasalahan politik mahu pun berdepan dengan perkembangan semasa yang mencakupi persekitaran glokal.

Agenda pendidikan yang rancak digerakkan Puteri membuktikan kesungguhan sayap itu menjayakan usaha membentuk masyarakat berilmu seawal usia prasekolah. Menariknya Puteri ialah mereka bukan saja bijak menyentuh aspek asas kehidupan tetapi kreatif melaksanakan iltizamnya menerusi program ilmiah seperti English on Wheels, Jom Baca dan Drop A Book yang biasanya diadakan dalam suasana santai bagi menarik minat golongan sasar.

Kepekaan Noraini menghalusi isu siswazah menganggur yang turut membebani sebahagian daripada ahlinya turut mencetuskan buah fikiran bernas apabila ada perwakilan menegaskan bahawa ‘kerjaya perlu dicipta, bukan ditunggu menjelma di depan mata’.

Justeru, bukanlah sesuatu yang mengejutkan andainya selepas ini ada ahli Puteri dengan selamba mengheret langkah bersalut lumpur mengerjakan ladang atau bermandi peluh menjaga lembu dan kambing, semata-mata untuk membuktikan bahawa peluang ada di setiap inci muka bumi asalkan ikhlas mencari ruang berjuang.

Seperti berulang kali ditegaskan Noraini dalam ucapan penggulungannya: “Jika Puteri dipuji, ia bukan untuk saya semata-mata tetapi Puteri keseluruhannya dan begitu juga apabila ada yang menegur... bukan saya seorang yang malu tetapi semua ahli Puteri.” Ringkasnya, susah senang dihadapi bersama.

Atas rasa sayang melimpah ruah terhadap anak buahnya juga, Noraini menyelitkan pesanan supaya politik wang - anasir yang boleh menjerumuskan ahli Umno ke kancah memualkan - dilempar sejauh-jauhnya daripada kamus kehidupan.

Satu perkara perlu disedari Noraini ialah ahli Umno tanpa mengira sayap mana diwakili, adalah manusia biasa yang terdedah kepada godaan. Bentengnya bukan setakat jati diri atau kesetiaan terhadap parti, tetapi perlu berteraskan keimanan dan ketakwaan.

Sebagai golongan sasar pembentuk kesinambungan Melayu Glokal, ahli Puteri perlu memajukan diri dengan mengambil peduli apa yang berlaku seiring putaran dunia.

Isu pemberian permit import (AP), ancaman rasuah politik dan pemansuhan tambatan ringgit adalah antara perkembangan semasa di tanah air yang perlu diambil peduli oleh ahli Puteri, baik yang baru melangkah ke menara gading mahu pun mereka yang sudah stabil dalam kerjaya kerana apalah erti jawatan jika dangkal di segi pengetahuan.

Menyetujui pandangan itu, Noraini menegaskan penekanan sentiasa diberi supaya anak buahnya sentiasa membaca dan mengikuti perkembangan semasa, baik di tanah air mahu pun arena antarabangsa.

“Payung sebenar kita ialah Umno, bukan terbatas kepada Puteri dan dalam kehidupan, kita akan berdepan dengan pelbagai jenis manusia dan keadaan.

“Saya tidak mahu ada ahli Puteri yang diam membisu bila diajak berbincang mengenai ekonomi atau politik antarabangsa... mereka perlu berani bersuara dan untuk itu, mereka mesti membaca dan terus membaca,” katanya.

Perjuangan pastinya dililiti rintangan, namun kepayahan adalah guru terbaik untuk meniti kedewasaan.




Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768