Generasi muda perlu dilatih kuasai 3K
GENERASI muda perlu dilatih menguasai 3K iaitu kemahiran, keusahawanan dan kepimpinan bagi meningkat dan mengembangkan lagi ekonomi Melayu.
Wakil Puteri Umno, Suraya Yaacob, berkata tenaga generasi muda yang kini berjumlah 11.8 juta perlu digembleng sepenuhnya, terutama dalam bidang ekonomi.
Sehubungan itu, beliau berkata, Skim Latihan Graduan perlu dikaji semula supaya mereka yang berminat untuk mendapatkan kemahiran keusahawanan saja dipilih.
"Rintangan utama melahirkan usahawan muda yang berjaya adalah kekurangan asas dalam penubuhan, tadbir urus syarikat dan pengurusan kewangan. Ini boleh diatasi dengan menubuhkan pusat maklumat setempat di setiap negeri," katanya ketika membahaskan usul ekonomi.
Bagi menambah usahawan muda Melayu yang berjaya, beliau menyarankan supaya diwujudkan perkongsian bijak dengan bukan Melayu.
"Kita tidak mahu lagi istilah 'sleeping partner', istilah alibaba mahupun istilah kaya cepat atau seperti cakap orang Kedah, 'potong tang kona'. Apa yang kita ingin lahirkan adalah usahawan tulen yang berusaha untuk berjaya," katanya.
Beliau berkata, belia juga perlu diterapkan dengan sifat kepemimpinan termasuk pembinaan jati diri dan semangat patriotik supaya melahirkan belia yang mempunyai integriti tinggi serta mengutamakan bangsa, agama dan negara.
|