`Semai nilai murni’

KETUA Puteri Umno, Noraini Ahmad, mengingatkan ahli pergerakan itu supaya menyemai nilai murni dalam usaha menjauhi politik wang yang boleh meruntuhkan perjuangan parti.

Dalam ucapan dasar sulungnya bertema ‘Ilmu dan Budaya Warisan Gemilang’ pada Persidangan Perwakilan Puteri Umno 2005, beliau berkata, perkara itu penting kerana kini wujud pelbagai tarikan yang boleh memesongkan tumpuan ahli daripada matlamat sebenar.

Noraini turut menegaskan pentingnya semua anggota Puteri tampil dalam setiap program atas dasar sukarela tanpa mengharapkan sebarang ganjaran.

“Kehidupan semakin kompleks dan globalisasi ada kalanya memberi isyarat sukar difahami, memerlukan generasi Puteri untuk lebih berhati-hati menyusun langkah,” katanya.

Menyentuh isu pendidikan, Noraini berkata ibarat melentur buluh yang harus bermula dari rebungnya, beliau mencadangkan kerajaan menetapkan satu dasar kebangsaan bagi menilai mutu perkhidmatan penjagaan kanak-kanak, di samping menilai mutu produk yang ditawarkan institusi prasekolah.

Beliau berkata, negara juga perlu memiliki Strategi Kebangsaan untuk Penjagaan Kanak-Kanak bagi memastikan matlamat Wawasan 2020 dapat dicapai seperti yang sepatutnya seiring kedudukan golongan itu sebagai pemimpin masa depan.

“Kita mesti menjadikan Taska, Tadika dan Tabika sebagai asas pembangunan awal modal insan, manakala ibu bapa perlu berperanan dalam membincangkan bentuk modul serta program pendidikan ke arah memperkasakan institusi awal pendidikan anak-anak,” katanya.

Mengupas permasalahan siswazah menganggur yang majoritinya wanita dalam lingkungan 20 hingga 34 tahun, Noraini berkata, cadangan penubuhan Institut Buruh Malaysia yang dibangkitkan dalam Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7) wajar dizahirkan pada RMK-9 dengan menumpukan aspek penyelidikan dan latihan.

Katanya, sistem pendidikan negara perlu diselaraskan dengan sektor pekerjaan, selain kajian berdasarkan teori penawaran dan permintaan bagi memastikan wujud keseimbangan di antara sumber manusia dengan pasaran kerja semasa.

FAKTA NOMBOR
Bilangan penganggur
41,000
Penganggur berdaftar dengan Bursa Buruh Elektronik
36,669
Graduan menganggur
70%
Graduan menganggur ialah wanita
13,883
Penganggur wanita dengan ijazah pertama
9,999
Penganggur wanita dengan diploma






Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768