Komitmen Puteri berbadan dua dihargai
KETUA Puteri, Noraini Ahmad sebak ketika memulakan ucapan penggulungannya pada Persidangan Perwakilan Puteri Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam.
Ketika beliau bersiap sedia memulakan ucapan, wajahnya kelihatan sedih dan air mata berlinangan manakala suara terketar-ketar.
Noraini berkata, beliau hiba mengenangkan komitmen warga Puteri yang sanggup mendengar perbahasan yang dijalankan sepanjang hari.
Beliau kemudian turut meminta mereka yang berbadan dua untuk bangun dan berkata: “Saya bangga dengan komitmen adik-adik Puteri terutama yang berbadan dua kerana sanggup datang pada perhimpunan ini walaupun dalam keadaan sedemikian.”
Lebih 10 anggota perwakilan termasuk Exco pergerakan itu yang hadir pada perhimpunan kali ini dalam keadaan berbadan dua.
Sementara itu, Noraini berkata, beliau tidak bimbang dengan “cakap-cakap” kononnya ucapan sulungnya semalam kurang “ummph” berbanding ketua puteri sebelum ini.
|