Kursus IPT tak relevan
ISU pengangguran menjadi perhatian beberapa perwakilan Puteri yang mahukan tindakan segera diambil terutama terhadap kursus di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) yang tidak relevan dengan pasaran kerja.
Wakil Puteri Selangor, Roslinda Abdul Jalil, berkata jumlah pengangguran di kalangan graduan wanita berlaku kerana IPTA gagal menyediakan kursus pengajian sesuai dengan pasaran kerja.
Katanya, IPTA juga gagal menyediakan pelajar dengan bidang komunikasi dan penguasaan bahasa Inggeris sehingga menyukarkan graduan bersaing untuk mendapatkan kerja.
Wakil Puteri Umno Melaka, Radziah Abdul Rahman, berkata ramai graduan dilahirkan setiap tahun berikutan penubuhan IPTS di negara ini tetapi malangnya mereka adalah golongan yang tercicir dalam merebut pekerjaan.
"Isu lambakan siswazah berpunca daripada tawaran kursus ketika mereka menuntut di IPT," katanya.
Selain kesilapan memilih kursus, Radziah berkata, sikap terlalu memilih pekerjaan juga menjadi antara punca peningkatan jumlah siswazah menganggur.
"Sektor pekerjaan di negara ini luas kerana banyak peluang kerja menunggu graduan, termasuk perladangan, pertanian, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan.
"Graduan kita menolak untuk bekerja di sektor terbabit kerana terlebih layak. Mereka seharusnya mencontohi graduan Cina yang tidak tahu duduk diam, sebaliknya sedia menceburi apa jua pekerjaan," katanya.
Beliau berkata, Skim Latihan Siswazah Menganggur yang dilaksanakan kerajaan berjaya mengurangkan jumlah siswazah menganggur kerana hampir 80 peratus siswazah yang menyertai skim terbabit berjaya mendapatkan pekerjaan.
|