Mawi AF3 jadi sebutan Puteri

FENOMENA `Tsumawi' singgah di Dewan Merdeka PWTC semalam apabila nama pelajar Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi menjadi sebutan beberapa perwakilan, termasuk Ketua Puteri, Noraini Ahmad.

Perwakilan Puteri Kedah, Kama Noriah Ibrahim, memaku tumpuan apabila memulakan perbahasan dengan menyanyikan petikan lagu Gadis Melayu' yang dinyanyikan Mawi ketika konsert AF3.

"Siapa bilang gadis Melayu tak menawan, tak menarik hati tiada memikat..." yang dinyanyikannya disambut tepukan menggegar suasana, termasuk barisan Exco Puteri dan tiga wakil Majlis Tertinggi (MT) iaitu Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, Senator Datuk Hamzah Zainuddin serta Datuk Shahrir Samad yang turut ketawa.

Malah, istilah `world' yang dipopularkan Mawi juga diselitkan beberapa perwakilan, manakala Noraini mengusik anak buahnya kerana turut menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi mengundi Mawi.

Exco Pemuda yang juga Pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim pula menggamatkan dewan persidangan apabila menyanyikan lagu Sampaikanlah Salam yang pernah dipopularkan kumpulan Alleycats.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768