Puteri anjur kempen derma darah

KEHADIRAN lebih 60,000 perwakilan, pemerhati dan orang ramai pada perhimpunan agung kali ini mendorong sekumpulan sukarelawan Puteri Umno membantu Pusat Tabung Darah Negara menganjurkan kempen derma darah.

Seramai 50 sukarelawan sayap parti itu ditugaskan bagi menjayakan matlamat menarik lebih 500 penderma darah sepanjang kempen yang bermula semalam.

Ketua Kempen Derma Darah Puteri Umno, Intan Aziz, berkata ahli parti bertanggungjawab membantu negara, terutama untuk pesakit yang memerlukan darah.

Pusat derma darah yang beroperasi di Bilik Negeri Sembilan, dibuka mulai jam 9.30 pagi hingga 5 petang, menetapkan sasaran menerima 150 penderma darah sehari.

Intan yakin matlamat itu dapat dicapai kerana sehingga tengah hari semalam saja lebih 70 orang mendaftar untuk menderma darah.

“Walaupun baru dibuka, sambutan yang kami terima amat menggalakkan dan yakin sasaran menarik 500 penderma dapat dicapai,” katanya.

Selain menderma darah, pengunjung diberi penerangan mengenai program pendermaan organ yang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai, khususnya umat Islam dalam membantu menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan.

Cabutan bertuah yang menyediakan pelbagai hadiah termasuk 400 hamper, loket emas, telefon bimbit dan pakej percutian sumbangan beberapa syarikat, turut diadakan bagi menggalakkan orang ramai menderma darah.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768