Noraini ikut jejak bapa

BAPA borek, anak rintik. Itulah yang dilalui Ketua Puteri Umno, Noraini Ahmad, yang mewarisi ‘darah kepemimpinan’ daripada bapanya, Ahmad Rais, 64.

Ahmad berkata, anak sulungnya itu memang mengikut jejak beliau dan arwah ibunya, Bechik Othman, yang berjuang dalam Umno sejak usia muda.

Pada usia 19 tahun, Ahmad sudah menjadi Setiausaha Pemuda Bahagian Semerah dan pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Bahagian Semerah serta Parit Sulong.

Allahyarham ibu Noraini pula pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Wanita Bahagian Semerah dan Parit Sulong.

Semalam, buat pertama kalinya, Ahmad hadir untuk melihat anak sulungnya menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Perwakilan Pergerakan Puteri Umno.

“Noraini selalu ikut kami berdua pergi kempen, turun padang, jumpa ahli Umno sejak berusia 15 tahun lagi. Memang nampak dia minat sangat dengan politik sejak kecil.

“Saya yakin dia mampu pergi jauh. Cuma saya nak pesan supaya dia sentiasa menjaga keikhlasan perjuangan, pentingkan parti dan teguhkan integriti,” kata Ahmad yang juga jurunikah di Mukim 3 Peserai.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768