‘Pilih isu serius, matang’

Perwakilan Puteri disaran agar berhujah dengan mantap selain mampu mencetuskan kreativiti untuk menyumbang idea

KUALA LUMPUR: Perwakilan Puteri Umno disaran memilih isu yang serius, matang dan mencabar minda ketika membentangkan hujah pada sesi perbahasan persidangan perwakilan itu hari ini.

Ketua Puteri Umno, Noraini Ahmad, berkata saranan berkenaan bertujuan memastikan hujah perbahasan lebih mantap, selain mampu mencetuskan kreativiti semua pihak untuk turut serta menyumbang idea bagi pembangunan Umno.

Beliau berkata, semua perwakilan Puteri perlu menggunakan peluang ketika sesi perbahasan untuk mencambah idea daripada ucapan dasar Ketua Puteri.

“Ucapan dasar Ketua Puteri keseluruhannya berkisar kepada pendidikan dan sudah pasti pembahas akan menggunakan peluang ini untuk memberi idea sokongan atau menyatakan bantahan.

“Bagaimanapun, setiap usul disampaikan perlu disokong dengan hujah membina,” katanya kepada pemberita selepas majlis minum petang dan ramah mesra Pergerakan Puteri Umno bersama media, di sini, semalam.

Noraini berkata, antara isu pendidikan yang bakal dikemukakan pada ucapan dasarnya termasuk dari prasekolah, sekolah rendah, menengah serta institusi pendidikan tinggi bagi memastikan pelajar Melayu tidak terus tercicir dalam arus pendidikan global.

“Puteri akan memastikan fokus utama diberikan sepenuhnya kepada pendidikan. Isu ini perlu dibincangkan secara serius kerana membabitkan hala tuju dan masa depan anak Melayu,” katanya.

Selaras dengan isu pendidikan yang dibangkitkan, beliau berkata, Puteri akan mengadakan kempen ‘Drop A Book’ di ruang legar PWTC sebagai usaha menggalakkan budaya membaca di kalangan anak Melayu. Selain itu, satu kempen derma darah juga diadakan selama tiga hari bermula hari in.

“Puteri akan memulakan persidangan perwakilan hari ini dengan persembahan marhaban oleh 500 ahli yang dijangka dimasukkan dalam senarai Malaysia Book of Records sebagai persembahan marhaban terbesar di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Exco Puteri, Haslinda Mohd Zerain, juga berharap perwakilan dapat memberikan hujah yang bernas dan bermutu.

“Perhimpunan kali ini membuka peluang kepada setiap ahli Puteri seluruh negara bergabung dan bersatu hati di samping bertukar-tukar idea dan pendapat berhubung semua isu berkaitan Puteri dan Umno,” katanya.

Sementara itu, seramai 12 perwakilan akan membahaskan ucapan dasar Ketua Pergerakan Puteri Umno, Noraini Ahmad, hari ini.

Selesai ucapan dasar, Naib Ketua Puteri, Rosnah Abdul Rashid Shirlin, akan mencadangkan ia dibahas dan disokong Nafisah Dolah.

FAKTA NOMBOR

777 - Jumlah keseluruhan perwakilan Puteri

213,540 - Jumlah ahli Puteri

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768