‘Akademi Fantasia melekakan’

AKADEMI Fantasia, rancangan realiti stesen televisyen Astro yang popular, terus mendapat perhatian perwakilan.

Jika kelmarin, nama Mawi tidak putus-putus disebut perwakilan Puteri pada persidangan pergerakan itu, Akademi Fantasia sekali lagi dibangkitkan ketika Puteri membahaskan ucapan dasar Presiden Umno.

Berbanding dengan pujian kepada Mawi kelmarin, Ketua Penerangan Puteri Umno, Shahaniza Shamsuddin semalam melabelkan Akademi Fantasi sebagai hiburan yang melekakan.

"Golongan muda kita lalai dan leka dengan rancangan Akademi Fantasia dan Sure Heboh yang dewasa dengan dangdut Inulnya. Kami memahami pasaran dan rancangan realiti TV memberi pelaburan yang baik dan mengembalikan keuntungan tinggi.

"Namun, implikasinya tidak memberi anjakan positif ke arah merealisasikan Melayu glokal dan berpesonaliti unggul.

“Walaupun sesetengah orang menganggapnya agak remeh, perkara ini perlu diteliti dan dipantau selaras dengan pelaksanaan Islam Hadhari," katanya.

Shahaniza yang sering diganggu Timbalan Pengerusi Tetap, Datuk Badruddin Amiruldin ketika berucap kerana masa yang diperuntukkan sudah cukup, berkata Puteri menyahut baik usaha Universiti Sains Malaysia (USM) yang mahu menjalankan kajian mengenai kejayaan Siti Nurhaliza.

Namun, katanya, kajian mengenai pencapaian pelajar cemerlang seperti Nor Amalina Che Bakri juga perlu dibuat untuk dijadikan panduan dan pedoman kepada pelajar Melayu.


Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768