Puteri sedia tiga pelan pastikan Umno relevan
PERGERAKAN Puteri Umno menyediakan tiga pelan tindakan untuk memastikan Umno terus relevan dan mencapai matlamat agenda Melayu, kata Ketuanya, Noraini Ahmad.
Katanya, usaha untuk tempoh tiga tahun itu, termasuk meningkatkan jumlah keahlian, memberi penerangan dan latihan serta memperkasakan semangat cintakan agama dan bangsa.
“Puteri bukan dicipta seperti dalam hikayat lama, ia adalah golongan muda Melayu yang bertekad meneruskan perjuangan bangsa,” katanya pada ucapan penggulungan.
Noraini berkata, kewujudan Puteri ialah untuk menarik golongan muda Melayu menyertai Umno seiring, selain membantu Pergerakan Wanita dan Pemuda memastikan agenda bangsa tercapai.
“Oleh itu, dalam era globalisasi, Puteri terpanggil untuk menjadi benteng terakhir bangsa mempertahankan maruah bangsa Melayu.
“Saya berterima kasih kepada pucuk pimpinan kerana Puteri diberi kepercayaan yang tinggi dalam Umno termasuk membantu menggubal dasar kerajaan,” katanya.
Noraini berkata, Puteri akan memastikan perjuangan lima dekad Umno memartabatkan bangsa Melayu akan terus diberi tumpuan utama.
Katanya, Puteri sentiasa bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk mencapai kejayaan serta berikrar untuk mengekalkan etika perjuangan dengan penuh sopan dan beradab.
Beliau turut berterima kasih kepada Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kerana memberi peluang kepada wanita muda untuk sama-sama membangunkan negara.
|