Personaliti Puteri: Diyana masuk politik bukan sekadar suka-suka
Nama: Diyana Akmal Mustaffa Kamal
Umur: 23 tahun
Asal: Ipoh, Perak
Jawatan: Setiausaha Puteri Ipoh Barat
Kelulusan: Sijil Pelajaran Malaysia
"TIDAK rugi masuk Puteri Umno, saya bangga dengan Umno dan bangga menjadi ahlinya," kata Diyana penuh semangat.
Minat dalam politik tumbuh dalam dirinya tanpa dipaksa oleh sesiapa. Malah, beliau juga tidak mempunyai ahli keluarga berlatarbelakangkan politik.
Perjuangan Umno yang sentiasa bermatlamat memartabatkan maruah bangsa Melayu telah lama menarik perhatian Diyana untuk turut menyertai perjuangannya.
"Tujuan saya masuk politik bukan sekadar suka-suka atau sebab nak glamor memegang jawatan semata-mata. Selain membuka minda dan mendedahkan diri dengan aktiviti berfaedah, minat menyertai Umno juga timbul atas dorongan untuk memperjuangkan nasib bangsa sendiri yang tumbuh sejak dari kecil.
“Di samping itu, hasrat saya ialah untuk mengembangkan lagi sayap Umno dengan menarik lebih ramai remaja hari ini menyertainya," katanya.
Mula menyertai Puteri Umno sejak 2002, Diyana bersedia memikul tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan penuh dedikasi demi memastikan golongan muda tidak terus ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
"Pembabitan dalam aktiviti yang dianjurkan oleh Puteri Umno dapat membantu remaja memperkasakan diri dengan pelbagai maklumat. Secara tidak langsung ia boleh menyelamatkan golongan remaja daripada terjebak ke dalam aktiviti kurang sihat seperti lepak, penagihan dadah dan pelbagai masalah sosial lain.
"Kita tidak boleh menyalahkan remaja sepenuhnya dalam mencari punca berlaku pelbagai gejala sosial di kalangan remaja. Usaha perlu dilakukan untuk mengalih minat mereka daripada aktiviti kurang sihat seperti melepak dan sebagainya.
“Justeru diharapkan dengan menarik mereka menyertai Puteri dan membabitkan diri dengan aktiviti yang disediakan, dapat mengubah gaya hidup lebih sihat remaja," katanya.
Beliau yang bekerja di sebuah salon kecantikan di Ipoh juga menyatakan kebimbangannya terhadap kadar pengangguran yang semakin tinggi di kalangan remaja di Ipoh.
"Persaingan sengit dengan kaum lain membataskan peluang untuk remaja di Ipoh mendapatkan pekerjaan. Walaupun berkelulusan tinggi, ia bukan jaminan untuk mereka mendapatkan pekerjaan menyebabkan ramai menganggur. Kalau boleh Puteri Umno mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk remaja Melayu," katanya.
|