Personaliti Puteri: Masalah remaja fokus utama Norita
Nama: Norita Ja'afar
Umur: 32 tahun
Asal: Johor Bahru
Jawatan: Ketua Puteri Umno Bahagian Titiwangsa, Wilayah Persekutuan
Kelulusan: Sarjana Muda Sastera dan Sarjana Ekonomi (United Kingdom).
MASALAH remaja menjadi fokus utama Norita yang mula menyertai Puteri Umno sejak 2000 lagi. Bukan sekadar memegang jawatan, Norita bercita-cita tinggi untuk mengubah nasib remaja yang semakin diancam pelbagai gejala negatif.
“Kita tidak boleh menyalahkan remaja 100 peratus apabila mereka terbabit dengan kegiatan tidak diingini. Sebaliknya, kita perlu kaji apa yang berlaku ke atas mereka, mungkin berpunca daripada beberapa faktor yang kita abaikan selama ini," katanya.
Pada pendapatnya masalah lepak yang semakin berleluasa di kalangan remaja hari ini adalah kesan daripada struktur rumah yang tidak terancang.
"Rumah sempit dengan jumlah adik beradik ramai di dalamnya antara faktor utama yang mendorong remaja keluar dari rumah kerana lemas. Perancangan teliti untuk membina rumah lebih sesuai perlu dilakukan bagi mengatasi masalah ini," katanya.
Katanya, tindakan lain yang boleh diambil ialah dengan mewujudkan pelbagai aktiviti yang boleh menarik minat remaja untuk mengalih perhatian mereka daripada gejala negatif.
"Puteri telah dan sedang menjalankan pelbagai aktiviti untuk menarik minat remaja untuk membabitkan diri dalam kerja bersifat lebih positif. Kita juga akan memperbanyakkan lagi aktiviti berbentuk pendidikan untuk meningkatkan pencapaian pelajar Melayu dalam bidang akademik agar tidak keciciran," katanya.
Beliau juga percaya aktiviti berbentuk sukan mampu menjadi alat membentuk remaja lebih cergas dan sihat.
"Sukan adalah saluran terbaik untuk remaja melepaskan perasaan mereka. Justeru, Puteri turut menitikberatkan aktiviti berbentuk riadah untuk melahirkan generasi lebih sihat," katanya.
Mewarisi darah politik daripada bapanya yang pernah menjadi wakil Johor Bahru, Norita yang menjalankan perniagaan sendiri, awalnya hanya sekadar untuk mencuba nasib dalam Puteri Umno.
Kemampuannya membuka mata kebanyakan ahli Puteri bahagian Titiwangsa dan dilantik sebagai Ketua Puteri bahagian berkenaan sejak Mac lalu.
"Wawasan utama saya untuk menjalankan tanggungjawab yang dipikul. Jawatan yang disandang adalah amanah yang diberikan oleh orang ramai yang tidak boleh diabaikan. Inilah yang harus diingati oleh setiap ahli Puteri," katanya.
|