Puteri kesal dijadikan buah catur pihak tertentu

KUALA LUMPUR: Puteri Umno kesal kerana sesetengah pihak cuba menjadikan ahli pergerakan itu sebagai budak atau buah catur bagi kepentingan agenda politik peribadi mereka pada pemilihan peringkat bahagian.

Naib Ketua Puteri Umno, Rosnah Abdul Rashid Shirlin (gambar), berkata pihak berkenaan cuba mendapatkan sokongan dengan cuba ‘membutakan’ mata ahli Puteri dengan mendakwa sokongan perlu diberikan berasaskan prinsip kesetiaan.

“Dalam keadaan tertentu kami tidak mampu mengelak tetapi dalam keadaan lain kami berada dalam situasi tertekan umpama ditelan mati emak diluah mati bapak,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden, di PWTC, di sini semalam.

Rosnah kesal apabila pihak berkenaan memperbudak-budakkan Puteri Umno dan menganggap mereka budak hingusan dalam politik.

Beliau berkata, pihak berkenaan cuba mengetengahkan ‘brand’ politik yang mahu menjadi Puteri Umno pemacu perpecahan dan pencetus masalah.

Namun, katanya, Puteri Umno tidak mudah dipersendakan kerana mereka berpegang teguh bahawa politik itu adalah sistem demokratik yang bertoleransi dan kompromi.

Selain itu, Rosnah mendakwa ada pemimpin lelaki pada peringkat bahagian cuba melaga-lagakan Pergerakan Puteri dengan Wanita Umno.

Katanya, keadaan itu seolah-olah mahu menjadikan golongan hawa sebagai bahan gosip dan hiburan politik untuk pemimpin lelaki.

“Mereka seolah-olah gembira melihat Puteri dan Wanita Umno bercakaran dan menyebabkan berlaku perpecahan dalam parti,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin lelaki Umno tidak sepatutnya melagakan Puteri dan Wanita kerana sumbangan kedua-duanya penting terutama ketika membantu jentera pilihan raya.

"Tidakkah golongan Adam dalam Umno sedar bahawa wanita adalah seperti ibu kandung kami sendiri dan Puteri juga akan melahirkan generasi yang bakal mewarisi kepemimpinan masa depan.

"Jika kita sayangkan isteri dan anak, sanggupkah kita melihat isteri bergaduh dengan anak, sanggupkah bapa melihat perselisihan di antara ibu dan anak serta mentertawakan kami?," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, golongan lelaki dalam Umno perlu menghormati Wanita dan Puteri seperti mana golongan itu menghormati ahli lelaki Umno dengan memberi ruang kepada mereka untuk menduduki jawatan utama parti.

Sementara itu, Rosnah berkata, Puteri Umno hanya setia kepada parti dan pemimpin yang memegang jawatan dalam parti bukannya berasaskan individu.

Katanya, kesetiaan kepada individu hanya merosakkan parti seperti yang pernah dialami Umno satu masa dulu.


Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768