|
|
|
|
|
|
|
|
Personaliti Puteri: Pahat iltizam terus perjuang nasib bangsa
Nama: Noor Hayati Fitrah Shahril
Asal: Pulau Pinang
Umur: 26
Jawatan: Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian Bayan Baru
BERMULA secara terpaksa, akhirnya Noor Hayati jatuh cinta dengan Pergerakan Puteri Umno yang sudah tiga tahun disertainya.
Kini menyandang Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian Bayan Baru, beliau bergiat aktif dalam sayap Umno itu selepas memahami matlamat dan perjuangan yang ingin dibawa Umno.
"Sebagai orang Melayu, pastinya saya ingin melihat bangsa saya maju. Justeru, menjadi tanggungjawab untuk memperjuangkan bangsa saya," katanya.
Dilahirkan dalam keluarga Umno menyebabkan beliau tidak kekok untuk menerajui kepemimpinan yang dipertanggungjawab kepadanya oleh Umno Bayan Baru.
Beliau berharap dapat menerajui Puteri Umno Malaysia dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.
“Saya rasa tidak mempunyai masalah meneruskan karier politik walaupun selepas berumah tangga kerana bakal suami saya turut terbabit dalam bidang ini dan pastinya memahami minat dan cita-cita saya," katanya yang bakal mendirikan rumah tangga Disember ini dengan Naib Ketua Pemuda Umno Cawangan Sungai Keluang, Ahmad Zulhazmi Ahmed Zaki.
Beliau yang memulakan karier politik sebagai Ketua Penaja Puteri Bahagian Balik Pulau pada usia 23 tahun, tidak pernah kecewa dalam memperjuangkan nasib bangsa menerusi politik walaupun pernah tewas dalam pertandingan bahagian itu.
Mengenai kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, beliau menyifatkan Presiden Umno itu sebagai seorang tokoh Islam yang moden tetapi sederhana.
"Saya bangga menjadi ahli Umno di bawah kepimpinan Abdullah yang mementingkan ajaran Islam tetapi pada masa yang sama tidak mengabaikan pembangunan.
"Kepemimpinan Abdullah yang menekankan konsep Islam Hadhari tidak mampu ditentang parti pembangkang yang kononnya memperjuangkan Islam," katanya yang kini menjawat jawatan sebagai pegawai bank di salah sebuah institusi kewangan di Pulau Pinang.
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|