Analisis: Puteri makin gah sebagai sayap baru parti
DIAM tak diam sudah tiga tahun usia Puteri Umno. Kewujudannya satu ketika dulu pernah ‘mengecohkan’ suasana parti kerana ia disertai wanita muda yang kononnya bakal menggugat kedudukan Wanita Umno.
Kini, Puteri Umno tidak lagi dipandang begitu sebaliknya diterima sebagai sayap baru parti bagi memperjuangkan dan mewakili wanita muda Melayu.
Jika disamakan dengan usia kanak-kanak, Puteri Umno mungkin baru belajar bercakap dan hanya tahu berlari riang di taman permainan, tetapi kita tidak boleh menyamakannya dengan kanak-kanak kerana Puteri jauh lebih matang daripada usianya.
Seperti kata Ketua Puteri yang baru, Noraini Ahmad, Puteri Umno kini bukan seperti tiga tahun dulu yang banyak menerima tunjuk ajar.
“Kita bukan lagi ‘agitator’. Kita bukan gadis berkerudung merah jambu yang menangis bila di ‘booo’, diperlakukan sewenang-wenangnya dan diselakkan kain oleh pembangkang.
“Kita sudah dewasa dengan pengalaman kita. Kita bersama-sama Wanita dan Pemuda Umno dalam aktiviti parti, walaupun kita baru tiga tahun bersama Umno,” katanya.
Bekas Ketua Puteri, Datuk Azalina Othman berkata, walaupun Puteri masih sangat muda, impaknya di pentas politik tanah air sudah berasa bahangnya.
“Warna merah jambu yang melambangkan semangat Puteri sudah tidak asing lagi di desa dan kota, di pedalaman dan pesisir serta berjaya menarik perhatian pemudi anak bangsa yang semakin memberikan sokongan dan komitmen kepada perjuangan kita,” katanya.
Buktinya, kita boleh melihat kepada perhimpunan kali ini yang mana Puteri Umno memang diakui bukan lagi anak benih yang masih di tapak semaian, sebaliknya pokok yang sudah berbuah dan hanya menunggu hasil untuk dituai.
Rata-rata pembahas mempamerkan hujah yang lebih berkualiti dan sedikit berani. Kebanyakannya tidak lagi segan untuk memberikan cadangan bernas berserta fakta yang dilengkapkan dengan statistik.
Isu yang mendapat perhatian adalah isu ekonomi orang Melayu, pendidikan, teknologi maklumat dan pembabitan generasi muda dalam kegiatan belia.
Tidak ketinggalan isu gejala sosial juga disentuh, Dasar Ekonomi Baru (DEB), industri asas tani serta masalah setinggan di Kuala Lumpur. Islam Hadhari turut menjadi topik perbahasan.
Kebanyakan pembahas Puteri tidak meleret-leret dan rata-ratanya menggunakan bahasa mudah, tidak banyak yang disulami pantun atau gurindam dan seloka. Jika ada pun pantun digunakan sebagai pembuka ucapan dan penutup saja.
Pembahas nampaknya lebih cenderung berterus terang daripada berkias bahasa, contoh yang diberikan juga mudah tanpa maksud tersirat dan tersurat.
Pujian patut diberikan kepada pembahas Puteri kerana rata-rata mereka patuh pada masa yang ditetapkan oleh Pengerusi Tetap, Rohani Abu Hassan iaitu 10 minit kalau terbabas pun tidak melebihi 15 minit.
Namun, kebanyakan pemerhati dan perwakilan mengakui perbahasan Puteri kurang menarik kerana mereka berpendapat ia mirip seminar dan persidangan akademik di institusi pengajian tinggi.
Tidak seperti Pemuda dan Wanita yang bukan saja menggunakan bahasa berkias dan gurindam seloka, malah ada yang menyanyi serta berdikir barat.
Dalam hal ini, kita tidak boleh salahkan pembahas Puteri kerana rata-rata mereka ini masih baru malah ada yang kali pertama bercakap di persidangan sebesar ini.
Namun, Puteri jangan berkecil hati kerana kualiti perbahasan dan ketepatan masa lebih penting jika dibandingkan dengan bahasa berbunga yang hanya membazir waktu.
Apa-apa pun, Puteri Umno adalah satu-satunya sayap parti yang menyaksikan pertukaran Ketua dan Naib Ketua hasil kompromi, Ogos lalu.
Semangat ini menyebabkan proses pemilihan exco berjalan lancar tanpa sebarang unsur yang menggugat keutuhan Puteri.
Namun, terdengar juga suara yang masih tidak puas hati dengan proses kompromi itu yang dikatakan cuba menyekat mereka yang berpotensi untuk memimpin pergerakan itu.
Ternyata, Puteri Umno mengikut saja apa yang ditentukan parti untuk mereka tanpa banyak soal atau bantahan. Sepatutnya mereka lebih berani dan tidak terikat dengan pemimpin atas di luar Puteri jika mahu memastikan hasrat mereka didengar, tanpa bayangan sesiapa.
|