Persidangan Puteri: Azalina mahu Puteri tetapkan visi
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Datuk Azalina Othman Said dalam amanat terakhirnya sebagai Ketua Puteri Umno, mahu sayap baru parti itu menetapkan visi, strategi dan perancangan rapi serta praktikal untuk merealisasikan agenda Melayu yang disifatkan sebagai tonggak dalam agenda nasional dan negara.
Dalam ucapan dasar pada persidangan perwakilan pergerakan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam, beliau berkata, pergerakan itu perlu mengorak langkah untuk memikirkan peranan yang akan dimainkan dalam membawa sumbangan bermakna kepada agenda Melayu masa kini.
Ini, katanya, sesuai dengan idealisme golongan muda yang berbekalkan peluang yang tersedia bagi generasi pasca-merdeka dan pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB), selain pentingnya modal manusia bagi meningkatkan daya saing masyarakat Melayu dalam era globalisasi.
“Dalam kita lantang menyuarakan cabaran yang mendepani masyarakat Melayu hari ini dan mendesak supaya kepentingan orang kita sentiasa dijaga serta diberi perhatian paling utama oleh kerajaan, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai pewaris parti keramat Umno, untuk sama-sama memikirkan apa yang dapat kita lakukan.
“Janganlah kita tidak mengendahkan peranan yang dapat dimainkan oleh kita secara kolektif, untuk berdepan dengan segala cabaran yang melanda orang Melayu.
“Mahu tidak mahu, paksa tidak paksa, hakikatnya hanya kekuatan dan keupayaan diri sendiri dapat menjamin orang Melayu mampu menempuhi sebarang senario pada peringkat negara dan dunia yang lebih mengancam,” katanya yang terpaksa melepaskan jawatan Ketua Puteri Umno yang disandangnya sejak penubuhan pergerakan itu lebih tiga tahun lalu kerana faktor usia.
Tempatnya akan digantikan oleh Naib Ketua pergerakan itu, Noraini Ahmad, yang menang tanpa bertanding.
Azalina menjelaskan beliau menganggap agenda Melayu sebagai agenda nasional kerana orang Melayu dan Bumiputera mewakili kira-kira 60 peratus penduduk negara.
Sebahagian besar daripada mereka, katanya, masih berada di luar bandar dan tidak berupaya menyertai arus perdana, sedangkan mereka adalah bilangan pengundi yang amat penting.
“Sementara di sektor korporat, matlamat 30 peratus pemilikan ekuiti yang ditetapkan oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB) masih tidak tercapai sehingga ke hari ini di mana angka pemilikan itu turun naik di sekitar 18.5 peratus saja.
“Jurang antara kaum yang sudah mengecil dalam zaman DEB sudah berkembang semula khususnya selepas 1990-an. Dengan kata lain, matlamat DEB untuk merapatkan jurang antara kaum demi perpaduan nasional dan kestabilan sosial yang tercapai dalam batas tertentu suatu masa dulu, kini mula menghadapi cabaran baru,” katanya.
Beliau juga menyentuh satu fenomena baru yang semakin ketara iaitu jurang antara golongan berada dengan golongan kurang berada serta golongan di bandar dan di luar bandar, yang semakin melebar.
Azalina berkata, antara manifestasi jurang berkenaan ialah kemunculan apa yang dikatakan ‘jurang digital’ antara bandar dengan luar bandar yang perlu segera ditangani.
“Maka, apa yang kita hadapi pada hari ini ialah dua jenis jurang yang serius, iaitu jurang antara kaum dan di dalam kelompok kaum itu sendiri,” katanya.
Berdepan dengan senario sedemikian, beliau menyarankan supaya agenda Melayu diperjuangkan dalam konteks agenda nasional.
|