Persidangan Puteri: Masih banyak perlu dilakukan


KETUA Puteri Umno, Noraini Ahmad (tengah) bersama barisan Exco baru.
– Gambar oleh Muhaizan Yahya

PERWAKILAN Puteri Umno yang membahaskan ucapan dasar Ketuanya, Datuk Azalina Othman Said bersependapat masih banyak yang perlu dilakukan bagi memperbaiki taraf hidup orang Melayu supaya setanding dengan kaum lain.

Ketua Puteri Titiwangsa, Norita Datuk Jaafar, mempersoalkan masalah kemiskinan yang dikaitkan dengan orang Melayu terutama penempatan setinggan di ibu kota.

Katanya, bancian mendapati 150,000 setinggan di 197 kampung di ibu kota dengan 39 peratus daripadanya milik Melayu dan 36 peratus dimiliki kaum Cina.

“Saya menyeru kerajaan mengkaji matlamat setinggan sifar menjelang 2005 kerana tempoh setahun tidak mencukupi untuk membasmi setinggan yang masih banyak di ibu kota,” katanya.

Pada masa sama, pergerakan itu meminta kerajaan bertindak lebih tegas terhadap pemilik tanah swasta yang lepas tangan untuk memberi pampasan ketika memindahkan penduduk setinggan.

Wakil Puteri Umno Perak, Sharifah Hanizan Habib Abdullah pula melahirkan kebimbangan mengenai sejauh mana keberkesanan aspek kenegaraan di kalangan pelajar sekiranya gejala sosial sukar dibendung.

Beliau mencadangkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) diperkasa dan dimantapkan di sekolah menerusi kokurikulum wajib yang perlu diikuti pelajar atau dengan kata lain mewujudkan program merentas pendidikan.

Wakil Puteri Bahagian Hulu Selangor, Radziah Ahmad menyarankan supaya parti mementingkan pendidikan fardu kifayah jika mahu bangsa Melayu sentiasa di belakang Umno.

“Kita lebih mementingkan pertandingan bola jaring dan kelas memasak daripada pembelajaran fardu kifayah. Sebab itulah Umno tidak mempunyai ‘personal touch’ dalam masyarakat,” katanya.

Beliau mengemukakan beberapa cadangan iaitu Umno menubuhkan tadika sendiri serta memberi insentif yang dibiayai sendiri parti kepada pelajar Melayu yang cemerlang dalam bidang sains dan Inggeris.

Selain itu, beliau menyarankan Umno memberi biasiswa khas kepada pelajar perubatan dan farmasi dalam usaha menanamkan kesetiaan kepada parti.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768