Usul ucapan dasar Ketua Pergerakan Puteri Umno
Pencadang : Naib Ketua Pergerakan Puteri Umno, Noraini Ahmad
Penyokong : Setiausaha Pergerakan Puteri Umno, Bibi Sharliza Mohd Khalid
1. MENGAKUI akan kejayaan Ketua Puteri Umno memimpin Pergerakan Puteri Umno dengan nilai kepimpinan tersohor sehingga Puteri diperakui sebagai sayap Umno yang dapat memberi sumbangan bermakna terhadap perjuangan demi agama, bangsa dan negara.
2. MENGINSAFI bahawa kepemimpinan pergerakan Puteri harus meneruskan dan mempertingkatkan daya juang, daya saing dan daya tahan yang tinggi di kalangan ahli Puteri bagi memastikan kecemerlangan pergerakan Puteri Umno dan wanita Melayu muda amnya.
3. MENYEDARI bahawa budaya negatif dalam Umno seperti politik wang dan kempen kurang sihat semasa pemilihan haruslah ditolak demi memelihara martabat, integriti serta keutuhan Puteri dan Umno secara keseluruhannya.
4. MENYEDARI akan kepentingan perpaduan sebagai agenda terpenting pergerakan supaya dapat memastikan kewibawaan dan kesinambungan perjuangan Puteri Umno.
Maka Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri Umno yang bersidang pada 22 September mengambil ketetapan:
1. MERAKAMKAN setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Pergerakan Puteri Umno di atas iltizam dan usaha beliau membawa pergerakan ini ke arah pencapaian yang diiktiraf dan disegani.
2. MENGHARGAI dan menyokong ucapan dasar Ketua Puteri Umno atas komitmen beliau dalam usaha memantapkan pergerakan dan memperjuangkan kepentingan golongan wanita Melayu muda.
3. MENYAHUT cabaran dalam usaha membentuk perpaduan yang sejati.
|