|
|
|
|
|
|
|
|
Idea spontan beri mesej lebih mendalam
PENGALAMAN berpidato dan berceramah sejak menyertai Pemuda Umno pada 1988, banyak mengajar Ketua Pemuda Gombak, Ismail Ahmad (gambar) untuk mengeluarkan idea spontan, tetapi membawa maksud mendalam.
Baginya, tiada jalan pintas untuk berjaya kecuali melatih diri meningkatkan kemahiran, selain sentiasa fokus serta mengikuti perkembangan semasa dengan membaca akhbar atau melayari internet setiap hari.
Walaupun kali pertama berucap pada Persidangan Perwakilan Pemuda Umno, ia tidak membataskan beliau untuk menyediakan lawak jenaka spontan sehingga menyebabkan perwakilan tidak kering gusi.
Beliau bagaimanapun mengakui pengalaman sulung berucap di pentas nasional yang dihadiri barisan kepemimpinan tertinggi Pemuda Umno menyebabkannya gementar serta bimbang tidak dapat menepati masa yang ditetapkan.
Namun, beliau bertawakal dan menguatkan keyakinan diri supaya Allah memberi ketenangan dalam dirinya.
"Apabila berucap pada ceramah politik, saya lebih gemar tidak mengikut teks tetapi sentiasa memastikan mesej sampai kepada hadirin.
"Ucapan saya memang akan selitkan tiga pantun termasuk satu dalam bahasa Minang yang membawa maksud pentingnya perpaduan pada semua peringkat," katanya.
Apa yang menarik, beliau hanya diberitahu supaya menjadi wakil Pemuda Umno Selangor untuk membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dalam masa yang singkat sebelum persidangan bermula.
Mengenai persiapan perbahasan menyentuh isu politik, beliau berkata selain menerusi pembacaan, beliau memperoleh input melalui pemimpin akar umbi.
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|