Azimi pertikai Tabung Haji
KETUA Penerangan Pemuda Umno, Datuk Azimi Daim mempertikaikan tindakan Tabung Haji menjalin kerjasama perniagaan pengedaran air mineral dengan syarikat dipercayai ditunjangi kaum Cina dan bukan dengan syarikat Melayu.
Beliau berkata, Tabung Haji selaku syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sepatutnya memberi peluang kepada syarikat milik orang Melayu kerana mereka juga mampu menceburi perniagaan pembekalan air mineral.
"Mungkin saya salah tapi cuma saya hendak kata Tabung Haji sebagai sebuah syarikat kerajaan yang kalau tidak 100 peratus mungkin 99.9 peratus tabungnya dilabur oleh umat Islam tidak sepatutnya berbuat demikian.
"Tapi kita tengok maklumat pada botol air mineral (sambil merujuk nama syarikat pengeluar produk itu)... saya sebut sebab hendak tolong usahawan Bumiputera... takkan tidak ada orang Melayu yang boleh mengeluarkan air mineral.
"Kalau dah tak ada syarikat Melayu yang buat, saya pun sanggup buat (bekalkan air mineral)," katanya sambil beberapa Ahli Majlis Tertinggi yang berada atas pentas memegang botol mineral atas meja mereka untuk membaca maklumat pada botol berkenaan.
Tabung Haji membekalkan secara percuma air mineral jenama TaHa untuk perwakilan persidangan sejak hari pertama perhimpunan Ahad lalu.
Pada botol yang turut tertera logo korporat Tabung Haji itu dinyatakan ia diedar oleh TH Global Services Sdn Bhd, iaitu syarikat milik penuh Tabung Haji. Turut tertera ialah produk berkenaan dikilangkan oleh Chuan Sin Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Spritzer Bhd yang berpangkalan di Taiping, Perak.
|