Sindiran Azimi gamatkan perwakilan
KETUA Penerangan Pemuda Umno, Datuk Azimi Daim, menggamatkan dewan persidangan dengan jenaka dan sindirin tajam ketika mengajak kaum Melayu melakukan perubahan minda.
Memetik beberapa gelagat yang sering berlaku dalam masyarakat Melayu, Azimi yang menjadi antara pembahas paling dinantikan perwakilan, menyatakan perlunya kaum Melayu berubah sikap dan meletakkan keutamaan dalam hidup.
"Kita tengok bagaimana kita meletakkan keutamaan dalam diri kita... pegawai kerajaan bila dapat bonus apa yang dia buat? Secara umumlah, mungkin ada yang menabung, yang simpan di sana-sini, yang buat untuk keperluan yang dirasakan penting untuk masa depan anak-anak dan sebagainya.
"Tetapi sebahagian besar kita dapat tengok apa dia buat. Belum bonus keluar, pagi dia lap kereta... keliling kereta dia, (sambil berfikir) apa lagi yang tak kena dengan kereta aku.
"Kemudian dia kata kat bini dia, kalau tukar 'sport rim' segak kereta kita ini," katanya disambut hilai tawa perwakilan.
Azimi yang mewakili sayap Pemuda membahaskan usul ucapan dasar Presiden juga memetik gelagat kaum ibu meminta suami memperbesarkan ruang dapur hanya kerana suami mendapat gaji lebih.
"Mana ada orang pergi ke rumah masuk dapur, berapa kerat pun. Tapi kerana hendak bergaya, perbesar dapur. Dapur perbesar tapi masak asam pedas dok lagu tu, sambal tumis dok lagu tu, ikan kering, goreng telur dan goreng ikan bilis.
"Kot la nak mai menu baru ke... apa ke pasal dapur baru," katanya sambil dicelah Timbalan Pengerusi Tetap, Datuk Badaruddin Amiruldin perkara itu tidak menjadi soal jika isteri meminta suami memperbesarkan bilik sehingga menambah kegamatan dewan.
Mengenai toleransi, perpaduan dan isu keris Melayu yang disalah tafsir hingga mencetus kontroversi pada perhimpunan parti tahun lalu, Azimi berkata, rakyat berbilang kaum tidak sepatutnya memperbesarkan isu kecil sebaliknya terus bersatu sebagai sebuah negara.
"Kita ini generasi baru tapi kita masih bercerita (soal) hendak roboh... pertahankan orang sampai hendak ke mana. Kita bertelagah dalam isu yang diselesaikan 50 tahun dulu tapi sepatutnya kita berfikir untuk tempoh 50 tahun akan datang," katanya.
Azimi juga berkata, kaum Melayu sejak dulu bertolak ansur dengan kaum lain dan ini dibuktikan melalui undi yang disumbangkan walaupun mereka adalah kumpulan minoriti di sebuah kerusi atau kawasan undi.
"Kawasan yang majoritinya kurang berbanding Melayu, kita terus undi mereka kerana kita faham ini toleransi politik yang menjadi contoh di seluruh dunia.
"Mana ada dalam dunia sebuah negara ditunjangi majoriti (Melayu) tetapi ada juga jawatan dan kuasa (kepada kaum lain). Malah, ekonomi dikuasai bukan Melayu sedangkan kuasa dikuasai orang Melayu. Inilah yang selama ini menjadi tunjang dan asas kita," katanya.
|