Anggota Pemuda perlu faham prinsip perjuangan

KUALA LUMPUR: Barisan kepemimpinan Pemuda Umno mahu pemimpin dan ahli peringkat akar umbi segera menyahut seruan dan peringatan Ketua Pergerakan itu yang mahu ahli kembali kepada asas perjuangan dan kesetiaan tidak berbelah bagi kepada parti.

Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, berkata peringatan yang disampaikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein jelas menunjukkan kepemimpinannya dalam pergerakan itu bukan bersikap hipokrit.

Katanya, peringatan Hishamuddin juga menunjukkan kekayaan, kuasa dan kemasyhuran yang datang dengan jawatan politik itu tidak seharusnya mengubah prinsip dan menukar nilai asas perjuangan Pemuda.

"Menerusi tayangan video tadi, kita dapat lihat parti, terutama pergerakan Pemuda satu masa dulu hampir runtuh akibat tidak ada pegangan kukuh kepada nilai asas perjuangan parti. Sebab itu, adalah penting prinsip asas perjuangan parti kita fahami dan pegang," katanya.

Exco Biro Hubungan Antarabangsa dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Datuk Mukhriz Mahathir, berkata adalah penting bagi pemimpin dan ahli merujuk semula asas perjuangan parti.

“Mungkin sebelum ini ada (pemimpin dan ahli) yang terlepas pandang dan Ketua Pergerakan Pemuda mengingatkan semula kepada perjuangan asal parti dengan agenda pembangunan Melayu menjadi teras utama.

"Beliau (Hishammuddin) juga mahu Pemuda melihat perspektif lebih luas tetapi hendaklah mengantarabangsa dan mengangkasakan bangsa," katanya.

Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Datuk Norza Zakaria, berkata pemimpin dan ahli Pemuda perlu mementingkan isu kesetiaan pada parti melebihi kepentingan peribadi.

Katanya, mereka tiada alasan lain kecuali terus mengangkat, memartabat dan mempertahankan institusi parti serta memperjuangkan agenda pembangunan Melayu dalam semua sektor.

"Setiap ahli Pemuda kena ingat bahawa kepentingan parti melebihi segala-galanya dan kembali kepada asas perjuangan tulen," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata biro itu akan menjadi penyambung kesinambungan perjuangan yang diasaskan kepemimpinan Pemuda.

Katanya, apapun ia akan bertunjang dan berpaksi kepada agama dan ketuanan Melayu dan sebagai pelapis, mereka akan meneruskan perjuangan yang dicurahkan oleh generasi terdahulu yang mengangkat martabat Umno.

"Putera akan memainkan peranan utama untuk mengangkat dan mengekalkan martabat agama dan bangsa di bawah naungan parti keramat ini. Penekanan Putera sekarang ialah skim peluang kedua yang mana rata-rata anak muda yang tercicir di bangku sekolah akan diberi kemahiran.

"Kita akan menyerap seramai mungkin ahli Putera berumur 18 tahun hingga 25 tahun di luar bandar dan di kawasan pertanian untuk sama-sama turut serta dalam arus pembangunan," katanya.

FAKTA: Usul ucapan dasar Ketua Pemuda Umno

Pencadang: Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Azimi Daim

Penyokong: Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Norza Zakaria

Menyedari Pemuda Umno kini berada pada satu tahap yang cukup stabil dan mantap di bawah kepemimpinan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan berjaya mengharungi pengalaman perjuangan penuh cabaran dalam mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti serta berjaya mengangkat martabat bangsa dan negara;

Menginsafi kejayaan negara yang menyambut ulang tahun ke-50 kemerdekaan adalah natijah cetusan kebangkitan rakyat dan kesepakatan dalam menggembleng jasa bakti pengorbanan jiwa raga pejuang pemimpin terdahulu dalam membentuk bangsa merdeka, berdaulat dan memperpusakakan sebuah pertubuhan yang terus dijunjung sebagai wadah perjuangan mempertahankan kepentingan orang Melayu;

Mengakui dan mengajak semua terutama umat Islam memahami secara jelas bahawa Islam cintakan kesejahteraan dan kemakmuran serta sentiasa menitikberatkan ketekunan dan kegigihan dalam mengejar kesempurnaan yang merangkumi seluruh aspek kehidupan, sekali gus menolak tanggapan negatif terhadap Islam dan keupayaan umat;

Meyakini usaha kerajaan melaksanakan rancangan pembangunan koridor ekonomi wilayah adalah keputusan komprehensif jangka panjang dalam membuka peluang dan memesatkan pertumbuhan serta keupayaan ekonomi orang Melayu supaya meletakkan orang Melayu setaraf kejayaan bangsa lain;

Memahami erti perpaduan dan mengajak semua menjulang kesepakatan sebagai wahana serta benteng terbaik mendokong kestabilan negara, mengelak pertelagahan pandangan yang berlarutan hanya dengan bisikan fitnah, mentafsir mengikut kepentingan dan agenda tersendiri serta dorongan jahat lain yang mungkin berpunca daripada strategi jahat pihak ketiga dengan mengelak kehancuran kemerdekaan negara dan kebebasan negara yang dikecapi selama ini;

Menyedari penuh keinsafan apa yang direncanakan hari ini adalah untuk hari esok, hasil kenikmatan diturunkan kepada generasi akan datang harus membabitkan usaha bersepadu, menuntut keikhlasan, mengkehendaki semua individu berlapang dada dengan meletakkan kepentingan negara mengatasi segala kepentingan lain; maka Perhimpunan Pemuda Umno

  • Menyokong penuh ucapan Ketua Pemuda dan memberi fokus segenap aspek secara jelas dan terbuka yang secara ikhlas membuka rentetan ranjau perjalanan perjuangan Pemuda dan memperlihatkan kesediaan Pemuda untuk terus berjuang dan melaksanakan semua agenda parti bagi memantapkan kedudukan bangsa serta meletakkan landasan perjuangan sebagai panduan generasi baru menerajui serta meletakkan Pemuda dan parti ke tahap gemilang dan terbilang

  • Merakamkan setulus ikhlas dan syabas atas kematangan mengorak langkah dan kekentalan semangat yang beliau miliki sepanjang menerajui kepemimpinan Pemuda mengharungi rintangan dalam mendokong perjuangan serta melahirkan kesyukuran dan rasa bangga kepemimpinan beliau walaupun satu ketika Pemuda menerima persepsi negatif masyarakat umum. Dengan tekad mengharungi lautan cabaran dan membuktikan tiada istilah menyerah dalam perjuangan, biar mati dalam gelanggang perjuangan, namun keutamaan parti mesti diutamakan dan nasib rakyat mesti dibela

  • Menyeru Pemuda dan ahli parti melahirkan ketaatan tidak berbelah bahagi kepada parti dan kepimpinan Presiden sebagai tanda kesepakatan mempertahankan agama dan negara

  • Menggesa dan menyeru rakan Pemuda sama-sama mengharungi dan membulatkan tekad meningkatkan keazaman untuk sentiasa membantu dan menyokong parti melaksanakan agenda parti serta sentiasa berusaha bersungguh-sungguh memartabatkan ilmu dalam pelbagai bidang supaya bangsa sentiasa dipandang tinggi dan mulia serta merebut peluang meningkatkan taraf sosio bangsa Melayu

  • Menggesa umat Islam memperkukuhkan semangat perpaduan dan menitikberatkan keharmonian dan menitikberatkan kesepakatan untuk berdepan cabaran yang semakin mendesak demi memastikan kedaulatan agama dan kebebasan agama lain terus dihormati dan tidak disalah tafsir mengikut emosi dan sentimen untuk mengelakkan tercetusnya situasi porak peranda yang akan menggugat kestabilan negara

  • Berikrar penuh iltizman selaras cita-cita Ketua Pemuda agar Pemuda terus bersatu dan bersetia dan berjanji meneruskan perjuangan berasaskan acuan perpaduan dan kesepakatan mengelak perpecahan dan semangat berpuak serta menyelesaikan sengketa secara profesionalisme

  • Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
    Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768