Wujud unit Bumiputera
WAKIL Pemuda Pahang, Datuk Khairuddin Yaakob mencadangkan diwujudkan semula Unit Penyertaan Bumiputera di semua wilayah pembangunan ekonomi, termasuk di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang baru dilancarkan bagi membela kepentingan ekonomi orang Melayu.
Katanya, Unit Penyertaan Bumiputera adalah satu pendekatan baru pembangunan yang boleh diterapkan melalui wilayah pembangunan koridor dengan kaedah yang lebih bersepadu, fokus dan holistik.
Beliau berkata, penubuhan unit itu penting kerana ketika Dasar Ekonomi Baru (DEB) dulu, Unit Penyertaan Bumiputera dilaksanakan di setiap negeri, pusat serta kementerian, dan terbukti amat berkesan dalam meningkatkan pemilikan ekonomi Bumiputera.
"Bagi saya, ini serius dan penting. Ia perlu dihidupkan kembali bagi memastikan penyertaan, pembabitan dan keuntungan kepada orang Melayu supaya kita tidak terlalu ketinggalan.
"Nama tidak penting, bubuhlah apa-apa pun nama asalkan dapat membela kaum Melayu," katanya ketika membahas usul ucapan dasar Ketua Pemuda.
Khairuddin berkata, Pemuda Umno akan terus berjuang untuk memastikan agenda ekonomi orang Melayu mencapai sasaran yang ditetapkan kerajaan.
|