Usaha basmi kemiskinan

USAHA membasmi kemiskinan di Sabah mampu dikurangkan ke tahap sifar pada 2012 melalui pelaksanaan pelbagai projek pembangunan, termasuk Koridor Pembangunan Wilayah Sabah pada tahun depan.

Wakil Pergerakan Pemuda Umno Sabah, Osman Ahmed, berkata setakat ini berapa projek besar seperti Kelompok Industri Minyak Sawit (POIC) di Lahad Datu, Projek Agropolitan di Pulau Banggi serta Terminal Minyak dan Gas (SOGT) di Kimanis, sudah dimulakan bagi tujuan itu.

Sambil memuji keberkesanan kerajaan Sabah menerusi kepemimpinan Musa Aman, beliau berkata sokongan semua pihak termasuk Pemuda Umno perlu bagi menjayakan usaha itu.

"Semua pihak perlu terbabit sebagai peserta dan dan bukan lagi sebagai penonton bagi menyaksikan kerancakan pembangunan koridor wilayah ini selaras dengan agenda utama Datuk Seri Musa Aman," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Osman yang juga Ketua Pemuda Sipitang meminta supaya pengusaha perladangan di Sabah memberi keutamaan kepada penduduk tempatan, selain menetapkan pembayaran gaji yang lebih baik untuk mereka.

"Langkah ini secara tidak langsung akan mengurangkan kadar kemiskinan di negara ini yang menjadi agenda utama kerajaan Sabah," katanya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768