Kaji syor naik tambang feri
KERAJAAN diminta menimbangkan semula cadangan menaikkan kadar tambang feri menghubungkan Langkawi dengan Kuala Kedah dan Langkawi dengan Kuala Perlis kerana ia membebankan penduduk.
Ketua Pemuda Umno Kedah, Md Rawi Abd Hamid, berkata pergerakan itu sudah banyak kali mengemukakan bantahan berhubung isu itu sejak 10 tahun lalu tapi sehingga sekarang tidak diambil peduli.
"Kita dimaklumkan kerajaan dijangka mengumumkan kenaikan kadar tambang feri dalam tempoh terdekat. Pergerakan Pemuda menaruh harapan besar agar keputusan ini dikaji semula kerana bantahan ini dibuat atas desakan penduduk," katanya membahaskan usul ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda, semalam.
Difahamkan kenaikan tambang feri itu antara RM5 hingga RM8 daripada RM18 bagi perjalanan sehala bagi kedua-dua destinasi terbabit.
Wakil Pemuda Kedah itu berkata, selain tambang yang agak mahal, kebanyakan bot ekspres yang beroperasi di pulau bebas cukai itu juga tidak selesa dan selamat.
"Janganlah biarkan sehingga ada ibu mengandung yang bersalin dalam feri akibat ketidakselesaan ini," katanya.
|