Sedutan ucapan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein: Pemuda pertahan perjuangan Melayu

Keris Panca Warisan tekad baru simbol kekuatan warisan pusaka turun temurun: Hishammuddin

Peristiwa 2 September 1998 masih segar pada ingatan kita. Ahli parti di persimpangan. Umno tergugat. Pergerakan Pemuda tidak terkecuali merasai bahangnya. Namun demikian, kita segera mengorak langkah, mengatur strategi dan memperkuat barisan kerana kita tahu di mana letaknya kebenaran dan di mana pula tumpah kesetiaan kita.

Pendirian kita jelas, bahawa parti lebih penting daripada individu. Partilah yang harus dipertahankan bukan individu. Dalam sejarah kepartian Umno, individu tidak pernah dijadikan punca untuk membenarkan tersemai syak wasangka, bermulanya porak peranda apa lagi bercambahnya benih kehancuran. Kepentingan umum dan orang banyak tidak harus dikorbankan demi kepentingan seseorang, apa lagi jika individu ini menjadi duri dalam daging yang meletakkan kepentingan diri di atas parti dan bangsanya.

Perjuangan, prinsip kepemimpinan

Sesungguhnya, perjuangan kita bukan mudah. Sebagai pejuang, ada kalanya kita melalui zaman duka dan kecewa. Ada kalanya kita disanjung dan dimuliakan. Ada kalanya kita dipinggir dan dilupakan tetapi pejuang sebenar tidak pernah mengerti makna kekecewaan. Pejuang tulen tidak sekali-kali tunduk pada keraguan, malah tidak gentar dengan kecaman dan ugutan. Inilah pegangan dan prinsip yang saya pertahankan. Prinsip yang berlandaskan keberanian, kebijaksanaan dan kematangan dalam menatang perjuangan ini. Berani kerana benar, takut kerana salah.

Sepanjang diamanahkan memimpin Pemuda, saya memilih untuk menggunakan jalan terbaik dalam menangani krisis. Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Kita boleh memilih untuk berkonfrontasi jika perlu dengan mengambil pendekatan bertemu buku dengan ruas. Kita tidak pernah gentar berhadapan dengan mana-mana golongan yang menyentuh dan mempertikaikan kedudukan bangsa dan agama, tetapi ada kalanya pendekatan berhikmah dapat menyelesaikan kekusutan dan menguntungkan semua pihak. Maruah Melayu tetap terpelihara, keharmonian terjamin dan persefahaman tercapai.

Keris Panca Warisan

Dalam perhimpunan Pemuda dua tahun lalu, buat kali pertama kita menyaksikan perarakan masuk Keris Panca Warisan. Dalam perhimpunan itu juga, kita mengisytiharkan Keris Panca Warisan sebagai Tekad Baru Pemuda yang berlandaskan kepada pancaran lima rukun idealisme Pemuda iaitu Rukun Islam, Rukun Iman, Rukun Negara, Agenda Melayu dan Jati Diri. Secara simboliknya kita menjunjung lambang kekuatan dan warisan pusaka.

Tiba-tiba saja pada 2006, keris menjadi polemik yang masih belum dapat reda sehingga hari ini. Keris dikatakan lambang pergaduhan. Rupa-rupanya selepas 50 tahun kemerdekaan tanah air, masih ada warga negara yang belum memahami kebudayaan bangsa dan negara sendiri.

Sebenarnya keris adalah lambang kemelayuan yang mendukung kedaulatan, kekuasaan, maruah, jati diri, amanah dan tanggungjawab. Keris juga lambang kesatuan bernegara seperti Keris Panjang milik Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Jelas keris bukan sekadar simbol kekuasaan tetapi juga simbol kesatuan. Masih ramai di kalangan rakyat Malaysia yang masih tidak mengetahui bahawa keris juga lambang kewibawaan, kebijaksanaan dan ilmu. Orang yang memakai keris itu, orang yang ada hikmah, bijaksana dan berpengetahuan dalam ilmu, bukan hanya ilmu pendekar dan persilatan saja.

Perjuangan Pemuda dalam konteks cita-cita kebangsaan

Tekad yang dibawa melalui Keris Panca Warisan dan semangat panji Sang Saka Bangsa adalah cerminan perjuangan kita selaras dengan slogan penubuhan Umno, ‘Bersatu, Bersetia Berkhidmat’. Semangat ini juga termaktub di dalam Perlembagaan parti yang menuntut kita agar memperkukuh komitmen untuk berjuang mendukung cita-cita kebangsaan demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara. Sebagai anggota sayap kanan parti, kita dalam Pergerakan Pemuda diberi amanah bagi memastikan bahawa asas dan tujuan penubuhan Umno ini dipertahankan.

Walaupun kita dituntut untuk mempertahankan agama, bangsa dan kedaulatan negara, Perkara 3 Perlembagaan Umno juga sentiasa memperingatkan kita untuk mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan rakyat Malaysia yang kuat dan bersatu. Kita juga sedar bahawa jalan ke arah mencapai kesempurnaan dalam soal hubungan kaum sememangnya penuh berliku. Masih banyak usaha yang perlu ditangani sama ada dalam bidang ekonomi, pendidikan, budaya, politik, agama mahupun bahasa. Namun kita tidak pernah putus asa untuk membentuk rakyat Malaysia yang kuat dan bersatu.

Dua pendekatan pendidikan – PIPP

Saya sedar bahawa saya bukan sekadar memimpin Pergerakan Pemuda Umno, tetapi juga mengetuai sebuah kementerian yang berperanan untuk membina generasi masa depan negara. Saya memikul amanah yang akan menentukan nasib lebih lima juta pelajar dan generasi muda. Setiap dasar pelajaran yang dirangka dan setiap keputusan yang dibuat akan mempunyai kesan besar terhadap masa depan mereka, bangsa dan negara.

Hari ini sistem pendidikan kita berada di persimpangan dan memerlukan perubahan. Dari suatu sudut, kita menyedari bahawa sistem pendidikan negara memerlukan anjakan. Bagaimanapun dari suatu sudut yang lain pula, saya sedar sebelum anjakan ini dilaksanakan sepenuhnya, asas yang kukuh perlu dipersiapkan agar tidak ada sebarang pihak yang tercicir, terjejas atau menjadi mangsa akibat jurang pendidikan.

Menyedari hakikat ini, kita memutuskan untuk mengambil dua pendekatan utama di dalam melaksanakan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) Kementerian Pelajaran. Pertama: bagi menyediakan seluas-luas akses terhadap pendidikan dan menyamaratakan medan persaingan di kalangan pelajar. Kedua: berusaha melonjakkan prestasi sekolah yang sudah cemerlang ke suatu tahap yang lebih tinggi sebaris dengan sekolah terbaik di dunia.

Merapatkan Jurang Pendidikan

Cabaran era globalisasi memerlukan usaha merapatkan jurang pendidikan dipergiat dan dipertingkatkan. Medan persaingan mesti dijadikan lebih rata supaya anak kita yang kurang bernasib baik dan terpinggir ini mempunyai lebih peluang untuk berjaya. Isu kemudahan asas, ketiadaan guru dan guru terlatih serta keupayaan menguasai 3M (Membaca, Menulis, Mengira) dan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) adalah di antara isu utama yang perlu ditangani dengan segera. Saya berjanji selagi saya menjadi Menteri Pelajaran, agenda ini akan terus dijadikan keutamaan kerana kita tidak mahu melihat anak kita tercicir daripada arus perdana pendidikan negara.

Memperkasa Sekolah Kebangsaan tanpa menyekat sekolah berlainan aliran

Agenda untuk memperkasakan sekolah kebangsaan juga mesti dijadikan keutamaan. Hakikatnya 80.5 peratus daripada sekolah di bawah KPM adalah sekolah kebangsaan dan 83.8 peratus daripada pelajar kita belajar di sekolah ini. Ia menjadikannya tunjang kepada sistem pendidikan negara. Oleh itu agenda memperkasa sekolah kebangsaan tidak wajar dilihat sebagai zero sum game. Ia perlu dilihat sebagai agenda yang mesti dilaksanakan demi kepentingan majoriti anak kita dan demi untuk memperkukuhkan perpaduan di dalam negara.

Atas sebab inilah, semua pihak mesti menerima hakikat bahawa sekolah kebangsaan perlu diperkasa tanpa sebarang syak wasangka lagi. Bagaimanapun, seperti yang pernah saya nyatakan, semua ini akan dilaksanakan tanpa perlu menyekat kewujudan sekolah aliran lain.

Memartabat Sistem Pendidikan Agama

Hari ini kita berhadapan dengan keadaan di mana dunia mengaitkan Islam dengan keganasan dan sekolah agama pula sebagai sarang untuk melahirkan pengganas. Bagaimanapun melalui pendekatan Islam Hadhari dalam sistem pendidikan agama, kita ingin membuktikan bahawa Islam adalah agama progresif, harmoni dengan kemodenan dan menuntut umatnya untuk menimba ilmu, bersikap toleran, mencapai kemajuan, keamanan dan kesejahteraan.

Kita beriltizam untuk terus memperkukuh dan memartabatkan lagi sistem pendidikan Islam sesuai dengan keperluan hari ini. Program Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) misalnya, diperkenalkan bagi membolehkan anak-anak kita menguasai tulisan dan bacaan jawi, menguasai asas bahasa Arab, khatam al-Quran dan dilatih melaksanakan fardu ain dalam erti kata yang sebenar. Hari ini 3,703 sekolah menawarkan program j-QAF, membabitkan 10,985 guru dan memberi manfaat kepada 644,419 murid.

Pada masa sama, kita akan terus menawarkan tempat kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) untuk bernaung di bawah KPM bagi membolehkan sekolah ini menerima bantuan seperti yang diterima oleh sekolah bantuan kerajaan lain.

Sejak pendaftaran sekolah ini sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), RM147.5 juta dibelanjakan kerajaan untuk menaik taraf sekolah ini dan 35,722 pelajar menerima manfaat daripadanya. Walaupun pendaftaran ini memberi manfaat kepada ramai, tetapi masih kedengaran suara sumbang dari negeri tertentu yang meletakkan syarat untuk pendaftaran sekolah mereka.

Ekonomi – gelombang baru agenda pertanian negara

Menggerakkan agenda kemajuan ekonomi untuk bangsa dan negara tidak pernah terhenti dan pimpinan parti sentiasa mencari peluang untuk memperkukuh kedudukan orang Melayu. Dalam usaha menyemarakkan ekonomi luar bandar, sektor pertanian diberikan tumpuan khusus. Pergerakan Pemuda sedar bahawa sektor ini adalah sumber kegiatan utama ekonomi bagi masyarakat luar bandar yang pada masa ini membabitkan 37 peratus penduduk negara kita di mana lebih 90 peratus daripadanya adalah Bumiputera. Mereka pula sering dikaitkan dengan insiden kemiskinan.

Ketika membentangkan Misi Nasional-Rancangan Malaysia Ke-9 (2006-2010) di Dewan Rakyat pada 31 Mac 2006, Perdana Menteri memberi penekanan dan menyebutkan bahawa “sektor pertanian perlu dilihat dengan kanta baru, dengan keyakinan baru” serta “dibangunkan dengan azam baru, semangat baru dan agenda baru.” Malah Perdana Menteri mahukan sektor ini menjadi tunggak ketiga pertumbuhan ekonomi negara. Pemuda menghargai penegasan yang amat bermakna ini.

Pergerakan Pemuda berpendapat bahawa kunci pada kejayaan dalam sektor ini ialah tenaga muda yang baru, komited dan berilmu. Pemuda memberi jaminan bahawa kita akan menggerakkan generasi baru petani untuk bersungguh-sungguh menjayakan agenda pertanian negara. Anak-anak muda ini akan didedahkan pada amalan dan teknologi pertanian moden selain menyedarkan mereka mengenai peluang baru dalam sektor ini. Pemuda menyokong sebarang usaha untuk mewujudkan pusat latihan dan kemahiran seperti yang disyorkan di dalam Konvensyen Pertanian Kebangsaan anjuran Biro Pertanian Umno pada 28 Oktober lalu.

Dalam hal ini Kementerian Pelajaran akan berusaha memperkenalkan subjek vokasional dalam bidang pertanian dan menambah jumlah sekolah menengah teknik yang menawarkan subjek dalam pelbagai bidang pertanian moden. Pemuda juga mencadangkan modul Latihan Belia Dusun Tua yang pernah dilaksanakan satu ketika dulu diperkenalkan semula.

Gelombang baru pertanian ini turut merangkumi usaha Datuk Seri Najib Razak dalam menyuntik semangat baru untuk terus memperkasa Felda. Pemuda mengalu-alukan pengumuman Lima Teras 50 Tahun Felda. Pemuda memberi jaminan kita akan bersama-sama menjadikan peneroka masyarakat contoh luar bandar.

Pembinaan MRSM Felda di Trolak dengan dana RM103 juta membabitkan 1,050 pelajar di mana 80 peratus adalah anak peneroka, diharap akan mempercepatkan agenda ini. Dalam usaha membangunkan usahawan muda Felda pula, Pemuda mahu Skim Insentif Usahawan Felda (SIUF) dengan dana RM100 juta dikendalikan secara berkesan. Ini bagi memastikan 39,958 usahawan Felda yang dikenal pasti dalam pelbagai bidang seperti industri asas tani, Program Satu Wilayah Satu Industri (SAWARI), pembangunan kraf, perniagaan runcit, perkhidmatan dan perusahaan kecil dapat dilahirkan.

Cabaran masa depan Pemuda Umno – generasi muda

Kita perlu membawa generasi muda untuk bersama-sama kita dalam wadah Umno. Umno adalah sebuah organisasi demokratik yang sentiasa membuka pintu kepada seluruh rakyat. Sejak dulu lagi kita menyaksikan keanggotaan ahli parti yang sentiasa memberi kekuatan kepada parti dan perjuangan orang Melayu. Kita harus membuka ruang seluas-luasnya kepada generasi muda hari ini seperti generasi sebelumnya membuka ruang kepada kita untuk berada di dalam Umno.

Pada masa sama kita jangan lupa bahawa di luar sana ada jutaan lain yang sebenarnya menyokong dasar dan perjuangan kita tetapi mereka bukan ahli Umno. Mereka ini terdiri daripada orang Melayu dan Bumiputera yang turut sama mencorakkan senario politik negara. Mereka ini mengundi kita dalam pilihan raya, meletakkan kepercayaan terhadap usaha dan dasar yang kita laksanakan. Pada masa ini ada kira-kira 3.3 juta ahli Umno yang tentunya tidak cukup untuk kita memenangi pilihan raya. Mereka meletakkan harapan yang tinggi kepada kita dan mahukan kita mendengar keluh kesah mereka dan berkongsi kegembiraan dengan mereka.

Ciri pemimpin Pemuda Umno yang diharapkan

Saya risau apabila hari ini kemewahan melampau menjadi gaya hidup baru sesetengah golongan di mana penanda aras kejayaan disandarkan semata-mata kepada kekayaan dan kebendaan. Saya menyentuh perkembangan ini kerana sudah kelihatan tanda-tanda terhakisnya nilai murni di kalangan sebahagian orang Melayu. Apa yang menjadi teras kekuatan bangsa Melayu selama ini seperti adab, sopan santun, budi bahasa dan ramah mesra mulai hilang.

Kerakusan dan kesombongan menjadi sebahagian budaya mereka. Akibatnya mereka hilang jati diri, mereka lupakan nilai murni dan hidup mereka berkiblatkan kebendaan. Seperti yang saya nyatakan pada awal tadi dalam konteks perjuangan parti, politik boleh menjadikan seseorang terkenal, masyhur, hebat dan berkuasa tetapi kuasa boleh merosakkan seperti juga kemasyhuran boleh melalaikan. Lalu kita mudah menjadi angkuh, rakus dan lupa daratan. Percayalah, kita perlu menjauhi sikap ini kerana jika kita gagal menanganinya dengan segera segala yang dibina sejak sekian lama akan hancur dan menjadi sia-sia.

Pemuda kini berada dalam kedudukan yang kuat dan teguh untuk kita menunaikan amanah dan tanggungjawab parti. Hanya jika kuat dan bersatu padu saja kita boleh teruskan perjuangan suci ini. Jangan kita persia-siakan kedudukan kita ketika ini dan membiarkan diri kita hanyut dalam kemewahan, kemasyhuran dan kekuasaan.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768