Pemuda Pahang desak Mukhriz mohon maaf
KUANTAN: Pemuda Umno Pahang mendesak Exco Pemuda, Datuk Mukhriz Mahathir, supaya memohon maaf secara terbuka kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam tempoh seminggu ini atau meletak jawatan secara terhormat.
Ketua Pemuda Umno Pahang, Khairuddin Yaakob, berkata desakan itu dibuat kerana tindakan Mukhriz yang mengkritik ucapan dasar Presiden parti, didifatkan sebagai satu perbuatan yang melampau serta melanggar ketetapan kepemimpinan.
“Mungkin keputusan Pemuda Pahang dianggap keras, tetapi gesaan sebulat suara yang dipersetujui semua 14 ketua Pemuda bahagian di negeri ini, perlu dinyatakan secara terbuka.
“Tindakan Mukhriz memperlekeh ucapan dasar Presiden Umno bukan saja mengejutkan, malah bertentangan sama sekali dengan sokongan yang sudah dinyatakan Ketua Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
“Kita mahu Mukhriz menyatakan pendirian dia, sama ada mahu menyokong bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang lebih bersifat peribadi, atau mengakui secara terbuka kesilapannya memperlekeh ucapan Perdana Menteri.
“Jika dia berkeras mengatakan tindakannya betul, dia perlu meletak jawatan secara terhormat kerana apa yang dilakukannya itu satu kesilapan,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.
Sabtu lalu, Hishammuddin berkata pihaknya memberi tempoh dua hari kepada Muhkriz untuk memberi penjelasan berhubung kenyataannya memperlekeh ucapan dasar Presiden Umno, sebelum tindakan disiplin dikenakan terhadapnya.
Sementara itu, Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan, ketika diminta mengulas mengenai tempoh yang diberikan kepada Mukhriz berkata, beliau difahamkan Exco Pemuda itu kini di luar negara.
“Kita tunggu dia pulang untuk mendapatkan penjelasannya sebelum mengadakan mesyuarat bagi menentukan tindakan yang boleh dikenakan terhadapnya,” katanya.
|