Pemuda tiada niat berbalah

TELUK INTAN: Pergerakan Pemuda Umno yakin semangat berkongsi kuasa dan persefahaman antara parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak tergugat walaupun pelbagai isu dianggap sensitif dibangkitkan sepanjang Perhimpunan Agung Umno, minggu lalu.

Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin, berkata perwakilan Umno khususnya ahli Pemuda tidak berniat berbalah dengan mana-mana pihak apabila membangkitkan isu sensitif seperti agama dan kaum sebaliknya hanya menyuarakan luahan orang Melayu pada peringkat akar umbi.

"Ini kali pertama perbahasan disiarkan secara langsung dan sudah tentu mereka yang tidak pernah mendengar perbahasan Pemuda (Umno) akan terkejut dan tidak puas hati sebab kami berbahas tanpa berlapik mengenai soal agama dan bangsa.

"Cuma saya nak tekankan ialah ini luahan daripada ahli akar umbi tetapi pada akhirnya semua usul yang dikemukakan terutama oleh Pemuda adalah usul yang progresif dan sederhana bagi memperjuangkan orang Melayu dan dalam masa sama menjaga hak bukan Melayu," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Jamuan Aidilfitri Bersama Khairy Jamaluddin anjuran Pemuda Umno Pasir Salak di Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Wah Keow Langkap, dekat sini semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Gajah yang juga Ketua Umno Bahagian Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Ketua Pemuda Umno Perak, Zainol Fadzi Paharudin.

“Tidak semestinya Pemuda Umno berbalah dengan pihak lain apabila membangkitkan isu sensitif seperti kaum dan agama, sebaliknya berharap semua pihak akan menghormati kedudukan, hak dan pendirian masing-masing.

“Ahli Pemuda perlu menerangkan kepada rakan mereka di dalam parti komponen bahawa apa yang dibahaskan dalam perhimpunan itu sebenarnya hanya menyampaikan hasrat ahli parti,” katanya.

Beliau berkata, ia penting kerana Pemuda mahu melihat hubungan antara parti komponen BN ditingkatkan sebelum pilihan raya umum akan datang bagi memastikan semangat BN akan terus berkekalan sebagai tonggak sistem politik negara.

"Saya rasa keseimbangan ini dapat dikekalkan. Saya rasa parti komponen sendiri pun faham kerana ketika perhimpunan agung MCA dan MIC pun mereka berucap berapi-api tetapi seperti yang dikatakan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berapi-api tidaklah sampai terbakar," katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, Pemuda Umno melihat 12 gagasan yang dikemukakan Abdullah pada perhimpunan itu secara menyeluruh dan meluas seperti melahirkan modal insan Melayu yang cemerlang dan inovatif serta perubahan pemikiran orang Melayu itu sendiri.

Katanya, orang Melayu tidak boleh lagi bergantung kepada kerajaan bagi mendapatkan peluang perniagaan atau subsidi sebaliknya perlu mempersiapkan diri menghadapi pelbagai cabaran masa depan dengan fikiran terbuka.

"Halangan paling besar ialah kita tidak berani melakukan perubahan minda dan tidak berani melepaskan keselesaan yang ada tetapi inilah sebenarnya yang perlu diubah," katanya.






Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768