Mukhriz diberi dua hari
Pemuda mahu Exco kanan perjelas kenyataan perlekeh ucapan Presiden Umno
MARAN: Pergerakan Pemuda Umno memberi tempoh dua hari kepada anggota Exco paling kanannya, Datuk Mukhriz Mahathir, untuk menjelaskan kenyataannya memperlekehkan ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sebelum dikenakan tindakan disiplin.
Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata setakat ini Mukhriz belum menghubunginya selepas kenyataannya yang disifatkan sebagai penghinaan kepada Presiden parti itu dikeluarkan media.
Katanya, dalam memberi tempoh kepada Muhkriz untuk bersemuka bagi membuat penjelasan itu, beliau sendiri akan mendapatkan pandangan berhubung hal itu daripada barisan Exco Pemuda dan ketua pemuda negeri.
“Isu ini serius dan saya serahkan sendiri kepada Mukhriz untuk menanganinya sebab sebarang tindakan yang akan diambil terhadapnya, bergantung kepada apa yang akan dijelaskannya kelak.
“Setakat ini dia belum menghubungi saya sejak isu itu tercetus. Jika dia nak hubungi saya, hubungilah... tak ada masalah (sebab) kita tetap rakan dan sahabat dalam perjuangan.
“Kita tidak akan mendesaknya meletak jawatan tetapi sebagai pemimpin, dia perlu bertanggungjawab terhadap apa yang diluahkannya,” katanya selepas menghadiri majlis Mega Raya anjuran Umno Bahagian Maran, di sini semalam.
Tindakan Mukhriz memperlekehkan ucapan dasar Abdullah seperti yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris Khamis lalu, dianggap sebagai penghinaan terhadap Presiden parti itu, menyebabkan majoriti Ketua Pemuda Umno negeri mengakui hilang rasa hormat terhadapnya.
Dalam kenyataannya itu, Mukhriz dilaporkan berkata beliau “sedikit” kecewa dengan ucapan dasar Abdullah yang disifatkannya bukan perkara baru.
Berikutan itu, Ketua Pemuda Umno negeri mahu mesyuarat khas Exco pergerakan itu diadakan segera bagi menentukan tindakan serta ‘bersemuka’ dengan Mukhriz.
Hishammuddin berkata, sebelum ini beliau sudah memberi ruang kepada Mukhriz untuk menyuarakan apa saja yang terbuku dalam hatinya, selain memberi kelonggaran kepada Mukhriz dan memahami kedudukannya sebagai anak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Ruang secukupnya sudah diberi tetapi apa yang dilakukannya ini menyentuh isu prinsip dan semangat setiakawan dalam perjuangan Pemuda.
“Saya cukup pantang jika ada individu meletakkan perjuangan parti dan Presiden kita di belakang kepentingan peribadi individu berkenaan.
“Jika kita benarkan individu tertentu berbuat begini, apa akan jadi pada kekuatan yang kita bina selama ini,” katanya.
Hishammuddin berkata, bantahan Pemuda negeri diluahkan terhadap kenyataan Mukhriz itu bukan bermakna berlaku perpecahan dalam Pemuda.
Beliau berkata, sebagai barisan bergerak seiring, tidak ada tempat untuk individu melakukan atau menyatakan sesuatu yang akhirnya menjejaskan sayap dan parti.
Mengulas ucapan kontroversi seorang lagi Exco Pemuda, Datuk Shamsul Najmi Shamsuddin yang meminta supaya Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin, meletakkan jawatan kerana dikatakan tidak mampu memartabatkan Islam Hadhari melalui program Radio Televisyen Malaysia (RTM), Hishammuddin berkata:
“Saya sudah minta Shamsul berjumpa Datuk Zam dan menerangkan sebaiknya apa yang dikatakannya itu. Mungkin dia tidak berniat begitu,” katanya.
|