Mukhriz diminta nilai diri
KUALA LUMPUR: Exco Pergerakan Pemuda Umno semalam yang menganggap Datuk Mukhriz Mahathir sudah ‘terkeluar daripada saf pergerakan itu’ supaya bermuhasabah diri dan menilai dengan ikhlas kedudukan perjuangannya bersama rakan Exco lain.
Sambil menyatakan kedukaan terhadap keterlanjuran Mukhriz memperlekehkan ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada perhimpunan agung parti itu, mereka berharap beliau (Mukhriz) tidak lagi membuat kenyataan bercanggah dengan perjuangan pergerakan itu.
Mereka juga mahu anak bekas Presiden Umno yang diakui tersepit di tengah perbalahan antara bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Abdullah supaya tidak lagi membiarkan emosi dan sentimen peribadi menguasai pemikiran dan tindakannya.
Pengerusi Biro Pertaniannya, Datuk Pirdaus Ismail, berkata menjadi tanggungjawab semua anggota, khususnya Exco Pemuda Umno untuk mempertahankan permuafakatan dan keutuhan pergerakan itu serta kepemimpinan parti.
“Sebagai rakan Exco saya ingin menasihati Mukhriz supaya tidak lagi membuat kenyataan boleh mengeruhkan keadaan, lebih-lebih lagi menggambarkan beliau tidak menghormati permuafakatan dan setia kawan dalam pergerakan Pemuda.
“Keputusan Pemuda menyokong ucapan dasar Presiden dari aspek agama adalah berdasarkan keputusan syura dan hukumnya wajib dihormati. Rasulullah SAW mengajar kita bahawa dalam berjemaah hendaklah mengutamakan persetujuan ramai kerana ianya lebih dekat dengan kebenaran serta dirahmati Allah,” katanya.
Pengerusi Biro Antidadah dan Gejala Sosial Pemuda Umno, Datuk Idris Harun, berkata adalah malang kerana Mukhriz meletakkan kepentingan peribadi mengatasi parti dan tindakannya itu umpama keluar daripada saf solat berjemaah kerana tidak bersependapat dengan imam.
Justeru, katanya, Mukhriz perlu mengambil keputusan besar berhubung kedudukannya kerana Pemuda Umno dan rakan Exco lain tidak boleh mempunyai ahli jawatankuasa yang tidak menghayati aspirasi dan agenda Melayu diperjuangkan pergerakan itu.
“Saya beranggapan apa dilakukan Mukhriz itu bukan kerana tidak setuju, tetapi dia sudah menutup hatinya kerana masalah peribadi antara Tun dan Pak Lah. Bila tutup hati, mata, telinga dan deria lain, saya anggap malang dan kerana itulah beliau tidak boleh dipujuk atau dirayu kembali,” katanya.
Idris berkata, ucapan dasar itu adalah paling terperinci pernah dibentangkan Presiden Umno kerana ia menggariskan dasar kerajaan, pendekatan mencapai matlamat dan kaedah mengukur kejayaannya.
Malah, katanya, tindakan Abdullah mendoakan kesihatan Dr Mahathir adalah titik tolak perdamaian dalam perbalahan dengan bekas Perdana Menteri itu.
Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda Umno, Ahmad Ikmal Ismail, berkata rakan Exco lain kecewa dan terkejut dengan kenyataan Mukhriz yang jelas dipengaruhi emosi dan sentimen peribadi sehingga membuat ulasan tidak sepatutnya dan tidak tepat.
“Mukhriz haruslah muhasabah diri, apakah hala tuju perjuangannya di atas platform Pemuda Umno. Beliau mesti jelas apakah perjuangan memartabatkan bangsa, agama dan negara dan apakah perjuangan peribadi,” katanya.
Timbalan Pengerusi Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda Umno, Kamarulzaman Kamdias, berkata Mukhriz sebagai anak bekas pemimpin negara dihormati dan sebahagian daripada institusi itu perlu bijak meletakkan kedudukannya ketika pergerakan itu sepakat menyokong usul terima kasih ucapan dasar Presiden.
Katanya, Mukhriz perlu memahami lopak dan batas yang melingkungi dirinya kerana sesiapa pun yang berada dalam kedudukannya harus lebih berhati-hati dan lebih berhemah apabila mengeluarkan kenyataan.
“Kita harap kenyataan Mukhriz itu hanyalah pandangan peribadi dan bukan bertujuan meleraikan ikatan mantap yang sudah sekian lama dibina oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Beliau harus memohon maaf kepada institusi Pemuda yang turut diwakilinya,” katanya.
|