Sekolah luar bandar diperkasa
Kementerian Pelajaran mahu lahirkan ramai pelajar Bumiputera berkualiti
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan terus memperkasakan sekolah kebangsaan terutama di luar bandar bagi melahirkan lebih ramai pelajar Bumiputera yang menguasai ilmu selaras usaha membangunkan modal insan.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata bagi mencapai hasrat berkenaan, pelbagai langkah akan diambil ke arah merapatkan jurang perbezaan antara sekolah bandar dan luar bandar.
“Agenda memperkasakan sekolah kebangsaan dan merapatkan jurang pendidikan adalah penting untuk membasmi keciciran di kalangan anak Melayu di luar bandar yang majoritinya daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Kita menginsafi bahawa anak Melayu perlu diberi peluang mendapatkan pendidikan berkualiti untuk membolehkan mereka bersaing dengan lebih adil,” katanya yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno, semalam.
Hishammuddin berkata, kerajaan akan menentukan 4,000 sekolah kebangsaan di luar bandar dan pedalaman yang tiada bekalan elektrik serta 1,555 lagi yang tiada bekalan air bersih, dibekalkan dengan keperluan itu, akhir tahun depan.
Beliau berkata, kementerian akan mengkaji semula kurikulum kebangsaan supaya tidak terlalu menumpukan kepada akademik sehingga membebankan pelajar, sebaliknya mampu melahirkan insan cerdik minda sehingga bersaing di dunia global.
Hishammuddin berkata, beliau sudah mengarahkan Lembaga Peperiksaan, Pusat Pengembangan Kurikulum, Bahagian Pendidikan Guru, Bahagian Teknologi Pendidikan, Jemaah Nazir Sekolah dan Bahagian Perancangan dan Kajian Dasar untuk meneliti semula kurikulum pendidikan.
“Saya bersetuju sudah sampai masanya untuk kita meneliti dan merombak kurikulum supaya sesuai dengan dunia hari ini.
“Kita tidak mahu kurikulum menjadi terlalu akademik, membebankan dan mementingkan peperiksaan. Pihak berkenaan akan meneliti semula sistem peperiksaan ini dan merintis kaedah baru bagi usaha mengembangkan potensi pelajar,” katanya.
Selain itu, katanya peruntukan bagi program makanan tambahan bagi pelajar miskin di sekolah kebangsaan pula ditambah menjadi RM200 juta setahun daripada peruntukan asal RM160 juta setahun.
“Ia penting kerana mengikut pendapat tokoh pendidikan, masalah kekurangan zat makanan di kalangan pelajar miskin akan menjejaskan perkembangan fizikal serta minda mereka,” katanya.
Beliau berkata, sejumlah RM5.3 bilion diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi membangunkan infrastruktur di sekolah luar bandar dan pedalaman, termasuk pembinaan lebih banyak kelas tambahan di Sabah dan Sarawak.
|