Pemuda tidak tersasar daripada prinsip
KUALA LUMPUR: Pemuda Barisan Nasional (BN) tidak pernah tersasar daripada prinsip memupuk perpaduan dan keharmonian kaum bagi memastikan kemakmuran yang dikecapi negara berterusan, kata Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Beliau berkata, kerajaan menyedari kepentingan memastikan semua kaum memiliki hak seperti termaktub dalam Perlembagaan.
"Jangan ragui hubungan kami dalam Pemuda BN. Hubungan ini bersandarkan keikhlasan dan semangat setia kawan yang boleh mengatasi sebarang masalah.
"Tanggapan kelantangan Pemuda Umno mewujudkan ketakutan di kalangan masyarakat bukan Islam adalah tidak berasas," katanya pada sidang akhbar semalam.
Beliau berkata, kebanyakan tanggapan masyarakat dipengaruhi laporan media dan kesimpulan yang dibuat pelbagai pihak berdasarkan apa yang didengar.
Katanya, persidangan MCA juga mencetuskan banyak kekeliruan dan mewujudkan ketakutan sekiranya semua yang dilaporkan akhbar Cina boleh dibaca masyarakat lain.
Hishammuddin menegaskan, setiap parti komponen BN bertanggungjawab terhadap masyarakat yang diwakili, tetapi pada masa sama perlu ada kerjasama, persefahaman dan kesepakatan.
"Masyarakat harus ada keyakinan terhadap teras perjuangan BN. Kita jelas mengenai agenda yang perlu kita usahakan.
"Pada dasarnya, orang ramai takutkan sesuatu yang mereka tidak tahu tetapi rakan saya dalam BN tahu mengenai saya dan apa dasar perjuangan saya," katanya.
Mengenai kenyataan Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai yang kecewa dengan kelantangan Pemuda Umno hingga mewujudkan ketakutan di kalangan masyarakat bukan Melayu, Hishammuddin berkata, ia disebabkan kekeliruan.
Malah, beliau sudah bercakap dengan Liow mengenai isu terbabit dan yakin semangat setia kawan dan tolak ansur di kalangan Pemuda BN dapat merungkai sebarang kekeliruan.
Hishammuddin berkata, semua rakyat tidak kira Melayu, China atau India, memahami wawasan BN.
"Kita tiada pilihan lain kecuali bekerjasama bagi mencapai wawasan itu," katanya.
|