Perhimpunan lerai kekusutan

Ucapan dasar, penggulungan Presiden bukti keikhlasan padam kebimbangan

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno 2006 yang berakhir semalam disifatkan berjaya meleraikan kekusutan membabitkan pelbagai isu penting termasuk agama, pendidikan, ekonomi dan sosial.

Kalangan pemimpin Umno dan perwakilan sependapat ucapan dasar dan penggulungan Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menunjukkan keikhlasan pucuk pimpinan untuk memadamkan kebimbangan daripada terus berlarutan.

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyddin Yassin, berkata ucapan Perdana Menteri yang menampakkan keyakinan dan ketegasan beliau menyatakan pendirian parti dan kerajaan dalam semua isu seharusnya menyenangkan hati semua pihak.

“Penjelasan Presiden juga menunjukkan Umno adalah parti yang mengambil kira kepentingan Melayu, kaum lain serta bersikap adil. Apabila media melaporkan semua perkara yang dibangkitkan perwakilan, diharap semua dapat menyelami perasaan orang Melayu membabitkan isu yang berlaku dalam negara,” katanya.

Beliau berkata, Umno tidak berubah dari segi corak, gaya dan pendekatan, malah peluang yang diberi kepada ahli untuk menyuarakan pandangan dapat meningkatkan kefahaman semua pihak mengenai perasaan orang Melayu.

Seorang lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata ucapan penangguhan Presiden memberi mesej jelas kepada rakyat pelbagai kaum supaya menggunakan kebijaksanaan dalam memperjuangkan suara akar umbi masyarakat masing-masing.

Katanya, ucapan itu memberi keyakinan kepada rakyat bahawa perjuangan Umno untuk meningkatkan penguasaan orang Melayu dalam bidang politik, ekonomi dan sosial tidak akan mengetepikan hak kaum lain.

“Yang penting, persidangan ini bukan bertujuan menyinggung perasaan kaum lain yang boleh menyebabkan rakyat berpecah-belah,” katanya.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, berkata Abdullah memberi mesej jelas kepada semua bahawa walaupun beliau seorang Perdana Menteri dan Presiden sebuah parti dominan, Umno mesti mengambil kira dan bekerjasama dengan bangsa lain.

“Umno akan terus berjuang demi kepentingan bangsa Melayu. Begitu juga parti MCA dan MIC akan berjuang demi kepentingan bangsanya tetapi Pak Lah menegaskan kita jangan lupa kerjasama ini sudah wujud begitu lama.

“Jadi tak sepatutnya sesiapa saja perlu membakar atau keluarkan isu yang akan merosakkan kepercayaan di kalangan rakyat pelbagai bangsa,” katanya.

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz, pula mengingatkan pihak luar supaya tidak menganggap debat dalam Perhimpunan Agung Umno sebagai sesuatu membimbangkan kerana ia perkara biasa menunjukkan semangat orang Melayu.

“Tidak betul berlaku persengketaan perkauman kerana itulah nada yang biasa dalam perhimpunan agung, sejak saya menghadirinya sejak 40 tahun lalu.

“Bagaimanapun, sebagai parti yang menjadi tunjang BN, Umno kekal memenuhi jaminan mencapai kestabilan negara dan rakyat melalui permuafakatan politik dan semuanya itu dijelaskan Presiden dengan baik tadi,” katanya.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Mohd Taib, berkata ucapan penggulungan Presiden perlu difahami bukan saja orang Melayu, malah bukan Melayu kerana Umno parti penting diterima hampir 50 tahun.

“Jelas Umno berjaya membawa kemajuan dan mewujudkan keseimbangan dalam memenuhi kehendak orang Melayu dan pada masa sama menjaga kehendak serta kepentingan orang lain,” katanya.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan ucapan penangguhan Presiden bukan hanya untuk memajukan orang Melayu, sebaliknya untuk semua kaum.

Beliau berkata, Abdullah mengajak semua kaum berkorban untuk mewujudkan masyarakat harmoni tanpa dibelenggu prejudis antara satu sama lain.

“Perwakilan boleh menyentuh perkara sensitif dalam perbahasan tetapi yang penting kita tidak menyinggung perasaan dan menjadikan masyarakat berpecah-belah.

“Ini menuntut kebijaksanaan pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) supaya negara kita progresif,” katanya.

Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad, pula menyambut baik aspek permuafakatan yang ditegaskan Presiden parti, bersesuaian dengan masyarakat berbilang bangsa negara ini.

“Rasa sayu menusuk kalbu kerana sudah 49 tahun kita merdeka dan hidup harmoni. Seharusnya, Umno dan Barisan Nasional (BN) bersama meneruskan suasana aman ini untuk memastikan matlamat mencapai negara maju menjelang 2020,” katanya.

Pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata banyak perkara yang dapat dipelajari dan diambil iktibar oleh ahli Umno sepanjang empat hari Perhimpunan Agung Umno antaranya aspek perpaduan, ekonomi dan pendidikan.

Beliau berkata, semua aspek yang disentuh Presiden perlu digalas ahli Umno menerusi bahagian masing-masing.

“Selepas ini, saya akan menggerakkan semua jentera Putera untuk melaksanakan misi yang belum tercapai antaranya menambah keahlian Putera, mengesan golongan pelajar tercicir dan mendekati mat Rempit,” katanya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768