Pemuda negeri anggap Mukhriz hina Pak Lah

Ahli Exco kanan perlekeh ucapan Presiden: Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno negeri menyifatkan kenyataan Datuk Mukhriz Mahathir yang memperlekehkan ucapan dasar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Perhimpunan Agung Umno sebagai penghinaan terhadap Presiden parti.

Mereka mengakui hilang rasa hormat terhadap Mukhriz dan meminta mesyuarat khas Exco pergerakan itu diadakan segera bagi menentukan tindakan serta 'bersemuka' dengan Mukhriz yang dianggap Exco Pemuda paling kanan.

Bagaimanapun, mereka tidak akan mendesak anak Tun Dr Mahathir Mohamad itu meletak jawatan, sebaliknya mahu beliau memikirkan sendiri kedudukannya dan tanggungjawab sebagai Exco Pemuda jika mahu terus bertindak seperti pembangkang.

Mereka menyatakan pendirian itu dalam sidang media khas yang dihadiri lapan daripada 13 Ketua Pemuda negeri pada Perhimpunan Agung Umno, semalam.

Sidang media itu dihadiri Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Norza Zakaria; Datuk Ir Jamlus Aziz (Negeri Sembilan), Razali Ibrahim (Johor), Mohd Salim Abd Bari (Pulau Pinang), Dali Husain (Kelantan), Rozabil Rahman (Perlis), Khairuddin Yakob (Pahang) dan Ashakari Abu Noor (Melaka).

Ashakari yang menjadi jurucakap, berkata semua Ketua Pemuda kesal dan terkilan kerana Mukhriz menidakkan keputusan bersama pergerakan itu, khususnya selaku penyokong usul ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno kali ini.

“Jadi secara kolektif kita berpendapat Mukhriz kena kaji kedudukan dan statusnya sebagai Exco. Kalau dia nak bersifat pembangkang, dia kena lihat dirinya siapa,” katanya.

Dalam kenyataan yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris kelmarin, Mukhriz dilaporkan sebagai berkata beliau ‘sedikit’ kecewa dengan ucapan dasar Abdullah yang disifatkannya bukan perkara baru.

Mengulas lanjut kenyataan Mukhriz itu, Mohd Norza berkata, mereka akan membawa perkara itu dalam mesyuarat khas Exco yang akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi menentukan tindakan yang harus diambil terhadap Mukhriz.

Katanya, pergerakan itu tidak boleh membiarkan Exco yang mendapat undi tertinggi daripada perwakilan seperti Mukhriz, bertindak di luar kesepakatan institusi Pemuda.

“Kita nak meletakkan Pergerakan Pemuda pimpinan Hishammuddin di satu landasan betul dan beliau sudah membawa Pemuda ke satu peringkat membanggakan.

“Tapi sekarang ada seorang Exco yang keluar daripada barisan dan nyatakan serta hina Presiden parti yang kita kasihi... kita tidak boleh biarkan,” katanya.

Razali pula berkata, dengan menyatakan tiada perkara baru dalam ucapan dasar Presiden adalah penghinaan yang cukup besar kepada pucuk pimpinan parti dan langsung tidak boleh diterima.

“Pada saya jika inilah yang Mukhriz inginkan dan beliau beranggapan kita akan memecatnya, kita tidak akan terpengaruh dengan mainan politik sebegitu.

“Sebab itu kami masih berbincang dan kami minta dia fikir tanggungjawab dan peranannya sebagai Exco. Ke mana arah tuju Pemuda dan apa yang boleh disumbangkannya selain mencari perkara yang menjejaskan perpaduan,” katanya.

Ditanya sama ada Pemuda menyuburkan sikap ‘yes man’ (pak turut) sehingga tiada yang dapat menyuarakan pandangan sedangkan Presiden sendiri menggalakkan keterbukaan, Razali berkata, Pemuda bukan pak turut.

“Jadi kalau tak ada benda baru buat apa kita berbahas. Takkan beliau (Mukhriz) tidak nampak dalam perbahasan banyak benda baru yang dicadangkan.

“Dalam ucapan dasar, Presiden melontarkan satu konsep untuk diperdebatkan dan bila penggulungan baru kita lihat ada benda baru dibentangkan. Jika dalam penggulungan tak ada penyelesaian dibentangkan, barulah boleh mengadu dan pertikai,” katanya.

Razali berkata, jika seseorang yang memasuki dewan perhimpunan dengan mengharapkan jawapan kepada segala kekusutannya tetapi tidak mendapatnya lalu menjadikannya sebagai alasan peribadi, maka ia adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab.

REAKSI

“Tindakan tegas wajar dikenakan ke atas Mukhriz. Dalam keadaan perwakilan mahu isu membabitkan bapanya diselesaikan dengan baik, beliau tidak patut memberi kenyataan bersifat adu-domba”

Md Jais Sarday
Exco Pemuda Umno


“Dua belas gagasan yang Presiden beri sudah cukup untuk kita lihat pemikiran beliau. Tak patutlah Datuk Mukhriz kata ucapan itu tak ada apa-apa”

Datuk Abdul Rahman Ariffin
Ketua Umno Bahagian Jerlun


“Saya kecewa dengan kenyataan Mukhriz. Apa yang dikatakannya itu tidak benar sama sekali sebab ucapan Presiden itu cukup menyeluruh”

Shamsul Anuar Nasarah
Ketua Pemuda Bahagian Lenggong



Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768