Ketua Pemuda tunggu reaksi sebelum bertindak

DATUK Mukhriz Mahathir harus bertanggungjawab dan memperbetulkan keadaan berikutan kenyataannya yang memperlekehkan ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kenyataan Exco Pemuda itu yang bercanggah dengan pendirian pergerakan berkenaan, mencetuskan bantahan banyak pihak.

“Tiada seorang pun perwakilan atau ketua Pemuda yang saya temui, termasuk yang rapat dengan Mukhriz, menyenangi perbuatannya dan mahu tindakan diambil.

“Bola kini di gelanggang Mukhriz dan beliau harus membuat keputusan berkaitan kenyataannya dan lakukan apa yang perlu bagi memperbaiki keadaan,” katanya pada sidang akhbar di luar Perhimpunan Agung Umno.

Hishammuddin berkata, Exco Pemuda akan bermesyuarat selepas perhimpunan agung parti, tetapi beliau enggan mengesahkan sama ada isu kritikan Mukhriz yang juga anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, akan dibincangkan.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda itu mengaku ada usul untuk membincangkan barisan Exco pergerakan berkenaan.

Ulasan Mukhriz bahawa ucapan dasar Abdullah pada pembukaan Perhimpunan Agung Umno Rabu lalu tidak mengandungi perkara baru, mengundang kemarahan pelbagai pihak di dalam Umno.

Hishammuddin berkata, beliau sedar Mukhriz dalam dilema antara kesetiaan terhadap keluarga dan pergerakan itu sebagai Exco.

“Bagaimanapun, itu bukan alasan kerana saya berulang kali mengingatkan anggota mengenai tanggungjawab bersama dan kepentingan semangat berpasukan,” katanya.

Hishammuddin menegaskan sudah ada persefahaman di kalangan anggota Pemuda untuk menyokong penuh usul yang dibawa Presiden parti sebagai tanda kesetiaan.

“Saya tak tahu sama ada Mukhriz tidak faham dasar ini atau sengaja tidak mahu ambil tahu pendirian bersama ini,” katanya sambil menegaskan apa yang dinyatakannya adalah teguran terbuka beliau.

Hishammuddin menafikan menghadapi tekanan daripada mana-mana pihak untuk mengambil tindakan terhadap Mukhriz, sebaliknya menjelaskan tindakannya berlandaskan dasar pergerakan itu dan tanggungjawab terhadap parti.


Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768