‘Kenyataan amat keterlaluan’
EXCO Pemuda, Datuk Reezal Merican Naina Merican mahu semua ahli pergerakan itu mementingkan perpaduan parti serta tidak mengeluarkan kenyataan bersifat peribadi dan tidak menghormati pemimpin.
Beliau berkata, kenyataan Exco Pemuda, Datuk Mukhriz Mahathir yang cuba merendahkan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, boleh menjadi bibit perpecahan pergerakan itu.
Beliau meminta Ketua Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengambil tindakan sewajarnya terhadap Mukhriz untuk mengelakkan perpecahan dalam Pemuda seperti yang berlaku pada 1998 selepas Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari Umno.
“Kenyataan Mukhriz ini amat keterlaluan dan menunjukkan dia tidak faham ucapan dasar Presiden kerana dalam ucapan itu, Pak Lah menerangkan apa yang sudah dilakukannya sejak tiga tahun lalu, termasuk menjawab kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Pak Lah tidak pernah merendahkan Tun Dr Mahathir dan ini pun Mukhriz tidak faham hingga membuat kenyataan yang boleh memecahkan orang Melayu,” katanya.
|