Menteri Penerangan diminta letak jawatan

WAKIL Pemuda Umno, Datuk Shamsul Najmi Shamsuddin, mencadangkan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin, digantikan jika tidak mampu memartabatkan Islam Hadhari menerusi program Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Ketika membahaskan usul Agama dan Sosial pada Perhimpunan Agung Umno, beliau mempersoalkan tindakan Zainuddin memendekkan tempoh siaran program agama di Klasik Nasional yang disifatkan tidak selari dengan usaha kerajaan menerapkan konsep Islam Hadhari di semua peringkat.

"Kalau tengok, radio Malaysia dulu program agama mulai jam 6 petang hingga 8 malam berikutan Kabinet menyerahkan dua jam kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Mengapa Menteri Penerangan pandai-pandai tukar daripada dua jam kepada setengah jam. Saya yakin menteri orang yang kuat agama. Dulu pun dia sekolah agama. Sokonglah sikit agama. Kalau tak boleh berjuang kepada agama, banyakkan sikit penyiaran... tukar orang lain, yang boleh beri ruang.

"Minta maaf, kita nak bela (Islam)... sepatutnya rancangan yang dibawa Kementerian Penerangan berorientasikan agenda kerajaan. Kita ada agenda parti, misi nasional, agenda umat yang belum selesai," katanya.

Beliau berkata, radio dan televisyen swasta sebaliknya lebih banyak memaparkan rancangan agama dan agenda nasional, berbanding radio dan televisyen yang disokong kerajaan.

Sementara itu, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dalam ucapan penggulungannya menjelaskan RTM menyiarkan banyak program keagamaan menerusi stesen televisyen dan radio miliknya.

Beliau berkata, program itu termasuk Bicara Mufti yang disiarkan pada 6.45 pagi setiap hari dan akan diadakan selama lima tahun serta Forum Perdana, melalui saluran RTM1, yang mempunyai lima juta penonton.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768