‘Henti polemik istilah, fokus perjuangan bangsa Melayu’
KETUA Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mahu semua pihak menghentikan isu penggunaan istilah sayap dan biro Putera Umno, sebaliknya memfokuskan kepada perjuangan bangsa Melayu.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran, berkata istilah bukan perkara penting sebaliknya tanggungjawab yang dipikul perlu ditunaikan, terutama dalam memastikan Umno tidak dibelakangkan.
"Kalau kita dibelenggu dengan polemik istilah, akhirnya kita tak buat kerja. Kalau kita hanya fikir struktur, maka perjuangan lebih besar tidak berjalan," katanya selepas melancarkan Buletin Putera Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Turut hadir, Pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Hishammuddin berkata demikian ketika diminta menjelaskan kekeliruan berhubung kedudukan Putera dan Puteri dalam Umno seperti dibangkitkan perwakilan Puteri ketika membahaskan usul ucapan presiden, kelmarin.
Isu itu timbul apabila ramai pihak seolah-olah menyamakan Puteri sebagai satu biro seperti Putera, sedangkan Puteri adalah satu daripada tiga sayap Umno, selain Pemuda dan Wanita.
Hishammuddin berkata, semua pihak di bawah Umno memikul tanggungjawab sama berat dan berlandaskan perjuangan sama.
Sementara itu, Abdul Azeez berkata, secara strukturnya Putera Umno adalah di bawah Pemuda Umno.
"Saya sedar siapa saya, saya ini hanya pengerusi biro Putera Umno dan 'bos' yang sebenarnya ialah Hishammuddin," katanya.
Sementara itu, Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad, berkata pergerakan itu mahu menjalin hubungan baik dengan semua pergerakan dalam parti.
|