Kecaman tidak jejas hubungan

KECAMAN dan emosi berbaur perkauman yang dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung Pemuda, Selasa lalu, tidak akan menjejaskan hubungan dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) lain, kata Ketua pergerakan itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, perkara itu tidak seharusnya menjadi isu kerana masing-masing sepatutnya faham tanggungjawab mereka terhadap parti sendiri.

"Perwakilan menjalankan tanggungjawab mereka... begitu juga kepemimpinan Pemuda ada tanggungjawabnya. Apa yang penting adalah niat dan tujuan kita.

"Bagi kepemimpinan tertinggi Pemuda, perkara ini bukan satu masalah besar," katanya selepas merasmikan Buletin Putera Umno.

Kelmarin, Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai kesal kerana persidangan Pemuda Umno diselubungi sentimen dan emosi perkauman sehingga menyebabkan pemimpin BN termasuk Naib Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat, teruk dihentam perwakilan.

Liow berkata, perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana isu penyelewengan peruntukan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan yang dibangkitkan Ong sudah selesai.

Ketua Pemuda MCA itu juga berkata, Pemuda Umno seperti tidak mengendahkan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak yang mengingatkan perwakilan supaya tidak mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768