Pemuda kaji semula kedudukan Mukhriz

Kritik ucapan dasar Presiden dianggap keterlaluan, memalukan

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno akan mengkaji kedudukan Datuk Mukhriz Mahathir dalam barisan Exco pergerakan jika beliau berterusan membuat kenyataan yang boleh menjejaskan perpaduan parti, kata Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau yang sedih dan kecewa dengan kenyataan Mukhriz mengkritik ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin, berkata tindakan itu keterlaluan, memalukan dan berlawanan dengan ketetapan Pemuda yang menyokong Perdana Menteri.

Hishammuddin menegaskan, Mukhriz tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan berkenaan ketika Perhimpunan Agung Umno berlangsung dan jika anak bekas Perdana Menteri itu bertemunya sebelum itu, beliau pasti akan berbincang dan bertanya kepadanya.

“Ini memalukan Pemuda lebih-lebih lagi (Mukhriz) sebagai Exco kanan. Dia membuat kenyataan kepada media dalam keadaan kita sedang berhimpun, maka bukan mudah kita hendak duduk berbincang.

“Dia buat kenyataan kepada media, maka saya juga perlu menjawab melalui media. Susah untuk saya menerimanya. Bukan selalu saya lakukan perkara ini terhadap Exco saya.

“Kita akan kaji dan teliti. Kenyataan saya ini bukan selalu saya lakukan tetapi bagi saya cukuplah dengan kenyataan sebelum ini. Kalau lebih banyak kenyataan sebegini, maka kita perlu lihat semula kedudukan Mukhriz dalam barisan Exco,” katanya selepas majlis jamuan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak bersama perwakilan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi.

Dalam kenyataan yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam, Mukhriz dilaporkan sebagai berkata beliau ‘sedikit’ kecewa dengan ucapan dasar Abdullah yang disifatkannya bukan perkara baru.

Mukhriz berkata, kandungan ucapan berkenaan sudah disampaikan Abdullah pada Perhimpunan Agung Umno tahun lalu dan beliau mengharapkan sesuatu yang baru daripada Presiden.

Hishammuddin juga berkata, kini terserah kepada Mukhriz untuk menjelaskannya kepada orang ramai.

“Saya bagi pihak Pemuda nak menyatakan itu bukan pendirian dan pandangan Pemuda. Kita berikan sokongan tak berbelah bagi kepada Presiden.

“Pemuda sudah memberi ruang seluas-luasnya untuk mengiktiraf sumbangan Tun (Dr Mahathir Mohamad). Saya tak tahu apa lagi yang mereka hendak,” katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan beberapa pemimpin Umno membidas Mukhriz dan menganggap kenyataan Exco Pemuda itu tidak mencerminkan dirinya sebagai seorang pemimpin yang mengutamakan kepentingan parti.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said menegaskan, susunan dan kandungan ucapan Abdullah adalah contoh ‘score card’ dan indeks pencapaian utama dengan Perdana Menteri ‘membuka’ dirinya untuk dinilai dengan adil.

“Ucapan beliau menunjukkan keterbukaan yang luar biasa,” katanya sambil menambah, mereka yang memperlekeh ucapan presiden Umno itu sebenarnya tidak faham mengenai peranan parti dalam kerajaan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid menjelaskan, ucapan Abdullah sebenarnya memberi penekanan meluas terutama mengenai pembangunan luar bandar, mewujudkan industri kampung berteknologi tinggi dan pengurusan sumber manusia.

“(Ucapan) ini penting kerana bagi beliau (Abdullah) ia adalah satu keutamaan dan matlamat yang dipikul sebagai Perdana Menteri untuk membangunkan ekonomi orang Melayu di luar bandar,” katanya.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Abdullah sentiasa mengingatkan orang Melayu yang mudah lupa agar menghargai Umno yang memperjuangkan nasib orang Melayu.

“Ini supaya orang Melayu ingat diri, jangan cepat sombong, jangan cepat lupa diri, jangan anggap kita pandai sangat, orang Melayu belum ada apa lagi... itu yang disampaikan Pak Lah dan sama-sama kita menjaga perjuangan kita,” katanya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768