Syarikat tujuan khas bekal bahan binaan
Penubuhan SPV dapat hapus ketirisan dalam kontrak kerajaan
KUALA LUMPUR: Pemuda Umno menggesa ditubuhkan syarikat tujuan khas (SPV) di kalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memecahkan dominasi atau kartel dan rangkaian pembekalan bahan binaan yang ketika ini dikuasai bukan Bumiputera.
Exco pergerakan itu, Datuk Reezal Merican Naina Merican, berkata SPV akan berperanan sebagai pembekal utama bahan binaan kepada semua kontraktor Bumiputera yang memperoleh kontrak kerajaan melalui skim pembekalan secara lebih sistematik.
Beliau berkata, SPV itu dapat menghapuskan ketirisan dalam kontrak kerajaan yang telah menyebabkan keuntungan ratusan juta ringgit yang sepatutnya menjadi milik orang Melayu berpindah ke tangan pihak lain.
Memberi contoh ketirisan tidak disengajakan, beliau berkata, daripada keseluruhan nilai kontrak kerajaan, 15-20 peratus adalah upah, kos pengurusan dan bahan binaan (60 peratus) dan kos perkhidmatan seperti kos kewangan, insurans, pengangkutan dan sewaan (20 peratus).
"Pemerhatian Pemuda mendapati hampir 80 peratus daripada jumlah kontrak keseluruhan pergi ke tangan bukan Melayu. Ini kerana pembekal bahan binaan terdiri kaum Cina yang wujud dalam rangkaian kartel yang begitu kuat sejak sekian lama.
"Mereka (kaum Cina) juga terbabit dalam perkhidmatan insurans, kewangan, pengangkutan dan sewaan peralatan binaan," katanya membahas usul ekonomi dan pendidikan.
"Jika sudah begitu senarionya, apa erti Agenda Melayu jika kontrak yang bernilai RM1 juta umpamanya, hanya 20 peratus saja yang dinikmati kontraktor Melayu manakala selebihnya berpindah ke tangan bukan Melayu," katanya.
Reezal berkata, kerajaan juga perlu terus menamakan pembekal kecil Bumiputera dalam setiap kontrak yang diberikan di bawah tender khas Bumiputera bagi memastikan limpahan kontrak dinikmati pembekal bahan binaan kumpulan itu.
Pemuda juga katanya, meminta supaya unit penyertaan Bumiputera diwujudkan semula di setiap kementerian bagi memantau agar ketirisan, sama ada secara sengaja atau tidak disengajakan dapat dielakkan.
"Ketika ini, hanya beberapa kementerian telah mewujudkan unit itu termasuk Kementerian Pelajaran," katanya.
Bagi memupuk masyarakat kontraktor Melayu berkelas antarabangsa, beliau berkata, usaha bersungguh mesti dilakukan untuk membina usahawan yang tahan lasak, tidak manja, kurang merintih, kuat bekerja, jarang mengeluh dan lebih penting berjiwa dan beragenda Melayu.
"Kita tidak mahu kewujudan hanya sekumpulan kecil usahawan yang mendapat nikmat, sementara yang lain terus merempat. Sejarah membuktikan kewujudan kumpulan kecil inilah yang membuatkan mereka bongkak, angkuh dan takbur dan akhirnya tersungkur.
"Justeru, Pemuda tidak mahu lagi konsep pengagihan ekonomi dan kontrak terus diberi kepada kontraktor yang sudah menjadi besar dan berupaya berdiri di atas kaki sendiri.
"Kami tidak mahu lagi kontrak hanya diberi... lepas dia... dia, lepas dia... dia lagi, lepas dia... dia dapat lagi'," katanya.
Beliau berkata, Pemuda mencadangkan kerajaan, terutama menerusi Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan Usahawan melalui Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) memperkenalkan konsep Syarikat Matang di kalangan kontraktor yang telah mencapai tahan keuntungan yang stabil dan mampu berdikari.
Mengenai rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) termasuk yang sedang dirundingkan dengan Amerika Syarikat, beliau berkata, perjanjian sebegitu perlu diteliti daripada perspektif lebih meluas.
Katanya, FTA bukan sekadar ingin menambah peluang pekerjaan, meningkatkan eksport negara, tetapi perlu menyumbang kepada peningkatan kualiti modal insan, pemindahan teknologi yang lebih tulen dan pembinaan keupayaan yang lebih mantap.
|