Umno tak perlu oportunis
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Azimi Daim mengingatkan ahli parti supaya berhati-hati dengan pemimpin yang mengamalkan sikap 'gergaji dua mata' kerana golongan itu melebihkan kepentingan peribadi, berbanding parti, bangsa dan negara.
"Kita perlu berhati-hati... ada yang suka tikam turun, lebih bahaya dalam sejarah pertelingkahan kita. Ada yang jadi duri dalam daging... dalam sekam pepat di luar rencong di dalam.
"Yang kita kena berhati-hati, ada orang yang dulu pun dia hero, zaman la pun dia hero, di darat boleh berlari, di laut berenang. Kalau ikut hukum benda dua alam ini... haram," kata wakil Pemuda Umno itu ketika berucap menyokong usul dasar ucapan presiden.
Tanpa menamakan sesiapa dan secara tersirat, beliau juga menyuarakan harapan supaya sebarang kemelut dan perbezaan pendapat yang melanda parti diselesaikan penuh berhemah kerana rakyat tidak lagi mampu menanggung beban akibat perpecahan yang bermula daripada perselisihan pendapat.
"Jangan sampai jadi malang Pak Kadok, malah kaduk naik junjung pun kita tak mahu," katanya.
Beliau juga berkata, ahli perlu berazam dan komited untuk merealisasikan Misi Nasional menerusi pelan yang diperkenalkan dengan terlebih dulu menyelesaikan perkara pokok dalam parti.
Katanya, perpaduan perlu dipelihara untuk meneruskan hasrat dan agenda, mementingkan kemuafakatan dan memelihara kesepakatan untuk mempermudahkan segala urusan terutama membela dan memperjuangkan kepentingan ahli dan rakyat.
Malah, beliau menaruh harapan besar dan yakin agar faedah yang disediakan kerajaan terbela dan terjamin untuk memberi peluang kepada generasi masa depan hidup sempurna dan terjamin.
Azimi juga menyuarakan kebimbangan negara berdepan risiko ditipu helah dan muslihat Amerika Syarikat jika menandatangani perjanjian perdagangan antarabangsa (FTA).
"Jika rakyat Australia dan Kanada 'dikelentong', harap Malaysia tidak kena kelentong. FTA wajar diteliti untuk elak negara rugi dan rakyat kecewa dengan amanah yang dipertanggungjawabkan," katanya.
|