Tiong Lai kesal sidang diselubungi emosi perkauman
KUALA LUMPUR: Pemuda MCA kesal kerana persidangan Pergerakan Pemuda Umno kelmarin diselubungi sentimen dan emosi perkauman sehingga menyebabkan kalangan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk Naib Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat teruk dihentam perwakilan.
Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai, berkata cara perwakilan Pemuda Umno mengecam pemimpin parti komponen BN lebih teruk daripada yang dibuat pembangkang.
Tiong Lai berkata, perkara itu tidak seharusnya terjadi kerana isu yang dibangkitkan Tee Kiat mengenai penyelewangan peruntukan di beberapa buah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) sudah diselesaikan pada peringkat Kabinet.
Justeru, katanya, adalah tidak wajar perwakilan Pemuda Umno untuk membangkitkan isu itu atau sekali lagi.
"Kami amat kesal dengan tindakan ini dan berharap perwakilan tidak menuduh sebarangan terhadap pemimpin komponen BN,'' katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, semalam.
Tiong Lai berkata, pihaknya kesal kerana Pemuda Umno seperti tidak mengendahkan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum perhimpunan yang mengingatkan perwakilan supaya tidak mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab ketika berbahas.
September lalu, Tee Keat yang juga Naib Presiden MCA mendakwa ada pegawai kerajaan yang melesapkan peruntukan yang diberikan kepada beberapa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di Johor.
Oktober lalu, Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu mengakui wujud unsur penyelewengan dalam kerja menaik taraf SJKC di Johor seperti yang didakwa Tee Kiat apabila semakan JKR mendapati jumlah pembaikan hanya RM3,000 sedangkan kos peruntukan hampir RM30,000.
Tiong Lai berkata, Pemuda MCA tiada halangan terhadap Agenda Melayu yang diperjuangkan Pemuda Umno, kerana MCA dan MIC masing-masing boleh membawa agenda pembangunan kaum Cina dan India.
Akan tetapi, yang perlu diberi perhatian semua pemimpin ialah agenda pembangunan nasional, iaitu pembangunan untuk seluruh rakyat Malaysia.
|