Usah pertikai hak Melayu

KUALA LUMPUR: Jangan pertikai hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam...’ demikian amaran Pergerakan Pemuda Umno kepada pihak tertentu supaya tidak berterusan mempersoalkan dua isu yang sudah termaktub dalam Perlembagaan itu.

Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan, Pemuda Umno tidak akan membiarkan pihak berkenaan bermain api perpecahan sehingga menggugat keamanan dan perpaduan yang selama ini dinikmati rakyat pelbagai kaum.

Beliau berkata, masa depan negara tidak boleh dipertaruhkan di tangan mereka yang bankrap idea serta mengamalkan politik perkauman untuk menonjolkan diri sebagai 'jaguh' kaumnya.

Menyampaikan ucapan dasar bertemakan ‘Semangat Sang Saka Bangsa’ pada perhimpunan agung pergerakan itu semalam, beliau berkata pembentukan negara Malaysia yang diimpikan tidak mungkin terbina di atas pemikiran sempit, cauvinis dan keterlaluan.

"Kita ingat siapa mereka, kita tahu di mana mereka berada dan apa yang mereka perkatakan. Kita Pemuda Umno, sama sekali tidak gentar berhadapan dengan pemimpin oportunis ini.

"Kepada mereka, saya ingin ulangi sesungguhnya Pemuda Umno tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dalam soal masa depan negara.

“Kita akan pastikan tidak ada tempat bagi mereka menjadi pemimpin dalam perjuangan parti Barisan Nasional (BN)," katanya disambut tepukan gemuruh.

Dalam ucapan lebih sejam yang membakar semangat 791 perwakilan Pemuda di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu, Hishammuddin menegaskan kekuatan Pemuda BN dipupuk bersandarkan keikhlasan, persefahaman, tanpa rasa curiga.

"Justeru, sebarang permasalahan dan konflik hendaklah ditangani secara bersama dengan penuh kebijaksanaan," katanya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan Pemuda Umno agar tidak terjebak dalam politik kebencian, sebaliknya kembali kepada idealisme

ANTARA KETETAPAN PEMUDA

MENDESAK kepemimpinan bertindak tegas dan serius dalam menangani tuntutan individu atau pertubuhan yang cuba memperlekehkan hak dan keistimewaan Melayu.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768