Henti putar belit fakta DEB: Khairy

Melayu dituntut miliki 70 peratus ekuiti negara

KUALA LUMPUR: Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, mengingatkan pihak tertentu, termasuk bekas Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya berhenti memutarbelitkan fakta berhubung pemilikan ekuiti orang Melayu.

Beliau berkata, tuduhan Anwar kononnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan semangatnya tidak diperlukan lagi kerana hanya mewujudkan segelintir Bumiputera yang kaya raya, mencerminkan sifat munafiknya.

"Malangnya hari ini kritikan terhadap agenda Melayu datang daripada orang Melayu sendiri, bukan orang lain.

"Orang Melayu sendiri yang kata kita tak perlukan dasar ala DEB. Dalam wawancara baru-baru ini, bekas Timbalan Presiden Umno kata DEB perlu dihapuskan kerana ia hanya memberi kekayaan kepada kroni," katanya ketika menggulung perbahasan usul terima kasih ucapan dasar Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau turut menyentuh laporan kajian ekonomi Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) kononnya orang Melayu sudah memiliki 45 peratus ekuiti negara, berkata jika laporan itu sahih, Pemuda Umno menuntut pemilikan ekuiti 70 peratus pula.

"Saya cabar mereka, baik Asli atau kumpulan pemikir lain, kalau betullah kita gunakan metodologi mereka yang hanya mengambil syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia, kita tuntut angka baru yang jadi sasaran sekarang 70 peratus," katanya.

Mengenai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang turut disentuh perwakilan ketika perbahasan, Khairy berkata, GLC tidak harus memandang rendah kemampuan usahawan Bumiputera di kalangan Pemuda Umno.

Beliau menegaskan, ketua eksekutif GLC tidak boleh mendakwa mereka dilantik untuk jawatan berkenaan kerana kononnya merekalah antara orang Melayu paling bijaksana.

Sebaliknya, mereka harus ingat bahawa mereka tidak akan berada di tempat berkenaan jika bukan kerana perjuangan Umno.

Pada sidang media selepas itu, Khairy menegaskan, parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak harus tersinggung dengan kritikan sepanjang perhimpunan agung berkenaan yang menyentuh isu orang Melayu di Pulau Pinang.

Beliau berkata, kritikan wakil Pemuda Pulau Pinang, Shahaedan Ayob Hussein terhadap kepemimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon adalah pandangan akar umbi orang Melayu dan dibuat secara ikhlas.

"Sebagai Naib Ketua Pemuda, saya perlu mendengar pendapat itu dan ada yang kami terima dan ada yang tidak. Sama ada kita bersetuju atau tidak, kita perlu lihat pada semangat, niat dan mesej sebenarnya.

"Mesej sebenar yang ingin mereka sampaikan adalah mereka tidak berpuas hati dan kami menerimanya," katanya sambil berharap Dr Koh mampu menerima pandangan berkenaan dan mengambil langkah susulan.

Khairy berkata, tiada sesiapa daripada Pemuda Umno akan meminta maaf kepada Dr Koh kerana parti komponen BN lain turut memperjuangkan kaum masing-masing dan mereka juga tidak meminta maaf.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768