Melayu Pulau Pinang, GLC hangat dibahas

KUALA LUMPUR: Peminggiran Melayu Pulau Pinang terus mendapat perhatian apabila perwakilan pada Perhimpunan Agung Pemuda Umno sekali lagi membangkitkan isu itu dan mendesak agar jawatan Ketua Menteri digilirkan dengan Umno.

Wakil Pulau Pinang, Shahaedan Ayob Hussein ketika membahaskan usul Pemuda mendesak Ketua Pemuda Umno dan Kerajaan Pusat membantu membela nasib orang Melayu di negeri itu kerana Kerajaan Pulau Pinang didakwa gagal mengagihkan ekonomi secara sama rata.

“Walaupun ada 1,200 kilang di Kawasan Perusahaan Bebas di Pulau Pinang, usahawan Melayu tidak diberi peluang membekalkan walau sehelai kertas.

“Kerajaan Pulau Pinang yang diterajui Ketua Menteri dari parti Gerakan bukan setakat tidak menghiraukan nasib bangsa Melayu, malah mendakwa Pemuda Umno bertindak secara kurang beradab apabila menggantung kain rentang mengkritik kepemimpinannya,” katanya.

Beliau menjelaskan isu berkenaan disensasikan media, terutama sebuah akhbar berbahasa Inggeris seolah-olah Pemuda Umno melakukan kesalahan besar.

Sehubungan itu, beliau meminta jawatan Ketua Menteri digilirkan dengan Umno bagi memastikan nasib orang Melayu terbela.

Selain Kerajaan Pulau Pinang, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga dikritik kerana tidak senada dengan kerajaan dan tidak memahami peranan membantu orang Melayu.

Ketua Pemuda Umno Terengganu, Razali Idris, berkata beliau sedih apabila GLC tidak mengagihkan kontrak serta memindahkan teknologi terkini bagi tujuan memajukan bangsa, sekali gus dilihat tidak membantu Melayu sehingga menyebabkan ramai siswazah Melayu menganggur.

Beliau lantang mengkritik GLC mengaitkan Petronas yang dikatakan gagal membantu Melayu Terengganu serta Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang tidak mengagihkan sepenuhnya kontrak kepada kontraktor Melayu.

“Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dengan lima Misi Nasional mesti digunakan sebagai pemacu anjakan paradigma supaya ekonomi Melayu tumbuh dua kali ganda ekonomi bukan Melayu bagi menghapuskan jurang perbezaan,” katanya disambut tepukan dan sorakan perwakilan.

Beliau kemudian memuji Biro Pertanian Pemuda, Datuk Pirdaus Ismail, yang melancarkan program jutawan tani yang dikatakannya boleh diberi ‘lima bintang’.

Razali berkata, program itu membuka mata petani untuk berusaha menjadi jutawan seperti yang dikehendaki Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Ledang, Mohd Zan Abu pula menegaskan Pemuda Umno Johor mahu kerajaan meneruskan agenda Melayu baru yang diperjuangkan pergerakan itu sebelum ini.

Usul pemuda Umno:


  • KERJASAMA rakan komponen Barisan Nasional (BN) perlu dipelihara dan dimantapkan menerusi tindakan bersama yang harus bersandarkan pemikiran dan penggemblengan lebih serius dan jujur;

  • MEMASTIKAN parti kekal unggul sebagai wadah orang Melayu dan Islam serta menjamin kesinambungan kepemimpinan dan ketuanan Melayu untuk kekal tonggak kepemimpinan dan kekuasaan negara;

  • MENYEDARI usaha pihak tertentu memperlekehkan serta mempersoalkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara seperti termaktub dalam Artikel 11 dan Artikel 121 (1A) Perlembagaan Negara serta cuba mempengaruhi pemikiran rakyat dengan memesongkan perhatian mereka untuk lebih memahami konsep kebebasan beragama

  • MENGAKUI tindakan kuasa besar rakus menyalahgunakan kedudukan serta kekuatan untuk mengancam, mengugut dan menjajah negara serta umat yang tidak berkemampuan;

  • MEYAKINI pelan rancangan Malaysia lima tahun sebagai usaha terbaik meletakkan kepentingan pencapaian agenda Melayu;

  • SOKONGAN tidak berbelah bahagi bahawa Sang Saka Bangsa akan muncul sebagai lambang kesepaduan perjuangan Melayu dan menerima baik penangguhan pemilihan parti serta memberi tumpuan dalam pelaksanaan agenda serta Misi Nasional;


Perhimpunan Agung Pemuda Umno ambil ketetapan berikut:


  • MENYOKONG penuh ucapan Yang Berhormat Datuk Seri Ketua Pemuda yang menyentuh segenap aspek dengan jelas dan terbuka.

  • MENGGESA rakan Pemuda menghayati dan bersatu hati serta meningkatkan komitmen melaksanakan agenda Melayu seperti yang dinyatakan dalam RMK-9.

  • MENDESAK kerajaan menggunakan pengaruh dalam Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) untuk melindungiumat Islam di serta dunia yang ditindas dan dianiaya.

  • MENGGESA umat Islam memperkukuhkan perpaduan dan menitikberatkan keharmonian dan kesepakatan.

  • MENDESAK kepemimpinan bertindak tegas dan serius dalam menangani tuntutan individu atau pertubuhan yang cuba memperlekehkan hak dan keistimewaan Melayu.

  • MENUNTUT pihak yang mempertikaikan dan menolak keputusan kerajaan dalam hal berkaitan kepentingan sesebuah bangsa dan meminta kepemimpinan dengan tegas menolak individu atau pihak yang cuba meraih keuntungan daripada isu yang timbul.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768