Analisis: Pemuda pertahan parti, pemimpin

DI sebalik pelbagai peringatan disampaikan sama ada secara serius atau berseloroh, satu mesej yang jelas cuba diketengahkan semua perwakilan Persidangan Pemuda Umno semalam ialah setiap ahlinya perlu mengutamakan parti dan menyayangi pemimpin.

Pemuda juga mengingatkan semua pihak sama ada dalam atau luar Umno, termasuk parti komponen Barisan Nasional (BN) hatta yang berada di luar negara, bahawa maruah agama, bangsa serta negara jangan sekali cuba diperkotak katikkan.

Pada usia 57 tahun, Pemuda yang satu ketika dulu pernah dilabel pihak tertentu sebagai tiada taring, kini lantang mahu menjadi benteng bukan saja dalam mempertahankan kedudukan orang Melayu dan agama Islam, malah mahu menjadi teras pemacu pelaksanaan Agenda Melayu.

Pentas perbahasan persidangan bermula dengan ucapan dasar Ketua Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang antara lain tegas menyatakan “kita sudah berjanji nasib bangsa tidak diperjudikan, tamadun kegemilangan Melayu terus subur dan takkan Melayu hilang di dunia.”

Gelanggang kemudian dibuka dengan ingatan kekuatan Pemuda Umno seiring dengan kekuatan Pemuda BN dan meminta menolak mereka yang mengamalkan politik perkauman dangkal untuk menonjolkan diri sebagai jaguh kepada kaumnya.

Pelbagai isu dilontarkan mengundang reaksi perwakilan. Daripada ketaatan kepada parti dan pemimpin sehinggalah isu berhubung kontrak sosial termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seperti hak keistimewaan orang Melayu, Artikel 11 dan cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama, Keris Panca Warisan serta bendera parti, Sang Saka Bangsa.

Perbahasan nyata hangat dengan kelantangan hujah, teguran dan sindiran yang kerap kali disahut perwakilan dengan tepukan dan tawa apabila contoh lucu ditampilkan.

Ketika membincangkan kegawatan politik Melayu, beberapa pembahas mengimbau sejarah silam yang membawa kepada tercetusnya peristiwa hitam perpecahan Umno dan kekalahan tentera Islam ketika Perang Uhud akibat tidak mematuhi arahan Rasulullah SAW sebagai pemimpin supaya dijadikan iktibar.

Pada ketika perbahasan tidak banyak menyentuh secara khusus mengenai parti pembangkang, banyak ruang digunakan bagi membangkitkan secara lantang tindakan beberapa pemimpin parti komponen BN yang disifatkan sebagai tidak menghormati Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan yang mengkritik Hishammuddin.

Antaranya, Ketua Pemuda Bahagian Puchong, Ramli Simbok yang mewakili Pemuda Umno Selangor mempersoalkan tindakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ong Tee Keat yang ‘menjentik’ Hishammuddin menerusi saluran tidak betul iaitu media.

Dengan memberi contoh dalam Islam ada aurat bagi seseorang yang haram jika didedahkan, begitu juga dengan pemimpin. Katanya, Ong perlu ingat beliau terhutang budi kepada orang Melayu ketika pilihan raya kecil Ampang Jaya dulu yang mendapat sokongan Melayu ketika menjadi calon BN menentang bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris.

Isu kritikan secara terbuka pemimpin bukan Melayu parti komponen BN terhadap Perdana Menteri termasuk tindakan menyampaikan memorandum juga menerima teguran perwakilan yang meminta mereka menyuarakan sebarang isu menerusi saluran yang betul.

Suasana dalam dewan juga hangat dengan sahutan perwakilan ketika ada yang mahu Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon tidak meminggirkan orang Melayu negeri itu dalam arus kemajuan ekonomi, pembangunan dan perumahan.

Pada akhir perbahasan, Pemuda membulatkan tekad sepadu menjiwai Agenda Melayu dengan iltizam melihat pergerakan itu sebagai jentera pelaksana utamanya. Semuanya kerana menjelang fajar 2020 ketika Malaysia mencapai status negara maju, Pemuda mahukan bangsa Melayu maju, jika tidak pun melebihi kaum lain, mesti setanding.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768